JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd. Aziz mengambil pendirian sama seperti Presidennya untuk keluar daripada blok gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan di negeri ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu, keputusan tersebut sejajar dengan prinsip politik yang diperjuangkan pihaknya sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tahun lalu.
“Pada 10 September lalu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menghantar surat pemberitahuan kepada Speaker Dewan Rakyat untuk mengubah kedudukan kepada Blok Pembangkang.
“Ini sekali gus menandakan Muda sebagai sebuah parti telah menarik sokongan terhadap kerajaan PH-BN secara en bloc dan tidak lagi akan berkongsi ruang yang sama dengan blok kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Justeru, Amira Aisya menegaskan bahawa beliau berdiri teguh dengan keputusan parti untuk keluar daripada kumpulan kerajaan perpaduan.
“Saya percaya politik baharu menuntut setiap wakil untuk mengambil tanggungjawab yang dihulur oleh rakyat dan pengundi. Keputusan yang Muda lakukan ini bertujuan untuk terus melindungi amanah tersebut.
“Negeri Johor dan rakyat Puteri Wangsa akan terus menjadi keutamaan saya. Biar apa pun cabaran, saya bercita-cita untuk menggalas kepercayaan rakyat sehingga pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq memaklumkan Muda akan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga, sekali gus menarik sokongan mereka terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN