Allahyarham Amir kerap ingatkan tidak leka hal duniawi - Rakan - Utusan Malaysia

Allahyarham Amir kerap ingatkan tidak leka hal duniawi – Rakan

MOHD. NOOR HAMIZI menunjukkan gambar Amir Ruddin Ismail yang maut dalam kemalangan yang turut mengorbankan lima lagi ahli keluarga di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT:  Pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46, yang maut bersama lima lagi ahli keluarganya dalam kemalangan dengan lori pasir semalam kerap mengingatkan rakan-rakannya supaya tidak leka dengan hal duniawi.

Seorang rakan sekerjanya,  Mod. Noor Hamizi, 39, memberitahu, sejak dua minggu lalu, Allahyarham sering berbual mengenai kematian, dosa, pahala serta hari pembalasan. 

“Dia sering menasihati saya supaya tidak leka hal duniawi dan jangan lengahkan waktu solat. Saya tidak menyangka kata-kata dan nasihat arwah kepada saya dan rakan-rakan lain yang adakalanya disampaikan secara santai menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

“Dia sering menceritakan hal dunia yang sementara, pelbagai perkara yang berlaku tanpa mengira dosa dan pahala yang terjadi sejak kebelakangan ini dalam masyarakat. Saya sudah menganggap dia seperti abang kandung. Dia juga nasihatkan supaya bersabar dan jangan bertindak di luar batasan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini hari ini.

Amir Ruddin Ismail, bapa kepada enam cahayamata itu yang juga imam di Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang antara enam terkorban termasuk isteri serta empat anaknya dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, kira-kira pukul 6 petang semalam.

Mohd. Noor yang merupakan penyelia ladang berkata, ketika kejadian allaryarham dalam perjalanan menghantar isterinya, Noorahimah Noor Muhamad, 43, yang turut maut untuk pulang bertugas sebagai ustazah di Sekolah Agama Ladang Kemedak di Segamat.

“Amir Ruddin seorang yang rajin dan ringan tulang melakukan kerja kebajikan seperti pelbagai program masjid bersama-sama penduduk setempat. Dia juga bapa yang baik dan taat perintah agama serta saya tidak menyangka tegurannya yang kadangkala serius dan secara berjenaka bercerita soal kematian sejak akhir ini menjadi tanda ajalnya tiba,” kongsinya dalam nada sebak.

Selain Amir  Ruddin dan isterinya, turut terkorban dalam nahas itu ialah empat anak mereka iaitu, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5 manakala seorang lagi anaknya, Abdullah, 15, mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Segamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan membabitkan lima kenderaan itu dipercayai berlaku apabila pemandu sebuah kereta Honda HRV yang datang dari arah Kuantan menghala ke Segamat memperlahankan kenderaan kerana di hadapannya terdapat kerja-kerja pembaikan jalan.

“Tiba-tiba sebuah lori yang membawa muatan pasir dari arah sama dipercayai gagal membrek dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Honda HRV terbabit dan sebuah Proton Wira yang sedang berhenti,” katanya di sini hari ini.

Lori tersebut kemudian memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Alza yang dinaiki enam mangsa yang maut itu katanya sambil memberitahu pemandu lori tersebut yang mengalami kecederaan parah turut dirawat di Hospital Segamat.

Beliau meminta saksi yang mempunyai maklumat tentang untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat (BSPTD) menerusi talian 07-9325811 atau balai polis berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN