Ahmad Zahid boleh didakwa semula, perlu mula kes dari awal

Ahmad Zahid boleh didakwa semula, pendakwa perlu mula kes dari awal

AHMAD Zahid Hamidi yang dilepas dan dibebaskan boleh didakwa semula.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh didakwa semula berhubung 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguambela dan Peguamcara, Mohd. Zainuddin Omar berkata, keputusan dilepas tanpa dibebaskan bermakna Timbalan Perdana Menteri itu masih boleh didakwa sekiranya Peguam Negara membuat keputusan untuk melakukan semula.

Menurut beliau, perlindungan di bawah Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai kerana Ahmad Zahid hanya dilepaskan tapi tidak dibebaskan dari pertuduhan.

“Tetapi memandangkan pertuduhan telah digugurkan dan kes pendakwaan di mahkamah untuk kes sekarang telah dibatalkan, sekiranya Ahmad Zahid hendak dituduh semula, pihak pendakwa perlu memulakan semula kes dari mula.

“Pendakwa perlu kemukakan keterangan saksi-saksi dan bukti-bukti serta memulakan kes semula dari zero,” katanya semalam.

Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan kelmarin menegaskan permohonan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap 47 kes yang dihadapi Ahmad Zahid adalah berdasarkan alasan dikemukakan dan diterima mahkamah.

KEPUTUSAN

Jabatan itu memaklumkan semasa membuat keputusan, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menyatakan alasan- alasan yang dikemukakan pendakwa raya adalah kukuh (cogent).

Mengulas lanjut, Mohd. Zainuddin berkata, sistem perundangan dan keadilan jenayah di Malaysia adalah berdasarkan sistem adversarial, yang mana pihak pendakwa dan orang yang dituduh perlu mengemukakan tuduhan dan pembelaan masing-masing di mahkamah.

Beliau berkata, menerusi sistem itu, apabila pihak pendakwaraya sebagai pihak yang menuduh menarik balik atau menggugurkan tuduhan mereka, maka secara teknikal tiada lagi pendakwaan yang perlu dibicarakan di mahkamah.

Beliau menjelaskan, pada ketika itu, secara administratifnya, mahkamah perlu membuat keputusan tentang kes yang sedang berjalan untuk menamatkan kes sama ada melepaskan tanpa membebaskan atau melepas dan membebaskan tertuduh.

“Ini kerana Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak dan perlindungan undang-undang jenayah daripada perbicaraan berulang ke atas kesalahan yang sama.

“Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara boleh mengugurkan pertuduhan dengan menghentikan pendakwaan pada budi bicara beliau,” katanya.

Menurut Mohd. Zainuddin, Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Peguam Negara menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Beliau berkata, tiada peruntukan atau peraturan yang menetapkan apa kriteria dan bila Peguam Negara boleh menggunakan kuasa budi bicaranya ini.

DISKRIMINASI

Kata beliau, Ini yang lazimnya dirujuk sebagai kuasa diskriminasi Peguam Negara kerana beliau sebagai pendakwaraya mempunyai kuasa untuk memulakan, meneruskan atau menghentikan apa-apa pendakwaan pada budi bicara beliau, tanpa apa-apa alasan atau sebab.

“Keputusan Peguam Negara ini tidak boleh dipertikaikan waima oleh mahkamah yang membicarakan kes sekalipun kerana ia diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Disebabkan Peguam Negara adalah juga peguam yang mewakili kerajaan, ada usul supaya jawatan Peguam Negara diasingkan dari jawatan Pendakwaraya bagi mengelakkan daripada berlaku konflik kepentingan atau timbul persepsi politik,” katanya.

Mengulas lanjut, dalam kes semasa berkaitan Datuk Seri Zahid Hamidi, Peguam Negara telah mengugurkan kes di peringkat pembelaan selepas mahkamah mendapati ada kes prima facie dan mengarahkan tertuduh untuk membela diri.

Pada peringkat ini, katanya, tidak timbul persoalan bukti atau keterangan untuk mendakwa tidak mencukupi atau tidak memadai untuk mendapatkan prima facie kerana pihak pendakwaan sudahpun menutup kes mereka dan mahkamah telahpun memutuskan ada kes prima facie.

“Tugas pendakwaraya adalah untuk mendakwa dengan mengemukakan bukti-bukti dan keterangan saksi.
“Setelah bukti-bukti dan keterangan saksi diberikan, sama ada ada kes prima facie atau tidak, itu adalah tugas dan keputusan mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN