Tunggang skuter jenama negara, kibar Jalur Gemilang sempena kemerdekaan

Tunggang skuter jenama negara, kibar Jalur Gemilang sempena kemerdekaan

AMRAN Dollah (kanan) bersama Mohd. Rusli Abdullah melakukan pelepasan Kembara Solo Halim Hamid mengelilingi Semenanjung Malaysia sempena sambutan kemerdekaan negara di Balai Polis Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang kakitangan Hospital Tumpat menterjemahkan semangat cintakan tanah air dengan mengelilingi semenanjung Malaysia sejauh 3,500 kilometer (km) sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan menunggang motosikal jenis skuter jenama negara iaitu Modenas Elegan 150 berusia 18 tahun sempena Sambutan Kemerdekaan ke-66.

Halim Hamid, 47, berasal dari Kampung Laut berkata, tunggangan secara solo itu merupakan rutin tahunan yang dilakukan setiap kali tibanya sambutan kemerdekaan negara.

Menurutnya, walaupun ada yang mengatakan usaha itu sia-sia namun setiap individu ada caranya tersendiri untuk menerjemahkan rasa cintakan negara sempena kemerdekaan.

“Saya memilih cara ini saban tahun kerana mahu melawat lokasi bersejarah dan mempunyai kaitan dengan sejarah negara termasuk Bukit Kepong.

“Insya-Allah, jika tiada aral saya akan menyambut  kemerdekaan di bandar Ipoh, Perak nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Pelepasan kembara solo disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah bersama Mohd. Rusli di Balai Polis Wakaf Bharu yang diiringi Unit Rondaan Bermotosikal sejauh satu kilometer yang berlepas pukul 8.30 pagi tadi.

Halim yang juga Sukarelawan Simpanan Polis (SSPDRM) Kontinjen Kelantan bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Tumpat yang berpangkat sarjan memberitahu, membelanjakan lebih RM1,000 untuk menyelenggara motosikal dan menghiasinya dengan Jalur Gemilang.

Katanya, pada masa sama dia bersyukur tahun ini ada penaja minyak petrol dari Petronas dan sumbangan peribadi dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd. Rusli Abdullah.

“Saya berharap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan keselamatan sepanjang menjayakan misi ini,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN