PUTRAJAYA: Malaysia merangka strategi bagi menjamin sekuriti makanan negara termasuk memantapkan pengeluaran bagi memastikan rantaian bekalan dipertingkatkan.
Ini sekali gus membolehkan pengeluar mendapat pulangan manakala rakyat mendapat bekalan dengan harga sepatutnya.
Kerajaan memberi perhatian serius kepada isu jaminan makanan susulan trend negara-negara pengeluar makanan asas berpotensi mengehadkan atau menghentikan terus eksport bekalan dengan contoh terbaharu tindakan India menghentikan pengeksportan berasnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara bersama dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi memastikan Malaysia tidak terjerumus dalam krisis terputus bekalan makanan, kerajaan menetapkan tujuh perancangan jaminan sekuriti makanan negara melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan menjelang Belanjawan 2024.

Menurut beliau, perancangan utama kerajaan ialah menyediakan sistem makanan masa depan yang cekap dan berdaya tahan seterusnya berpotensi meningkatkan pendapatan kepada pengeluar di sepanjang rantaian makanan.
Daripada sistem, ukuran ketersediaan dan keupayaan mendapatkan makanan diperlukan dalam masyarakat di sesebuah negara dengan harga sewajarnya.
BERUPAYA
“Menerusi perancangan dan langkah itu diharap Malaysia berupaya menyediakan makanan berkhasiat dan berpatutan selaras dengan teras utama kerangka sekuriti makanan negara.
“Kerajaan turut mensasarkan pengeluaran dan strategi peningkatan produktiviti dengan menerapkan amalan pertanian mampan selain memastikan kecekapan penghasilan produk pertanian yang menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan pendapatan pengeluar,” kata beliau.
Fadillah dan Mohamad berkata, aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi yang dipergiatkan antaranya penyelidikan pembangunan varieti padi tahan kemarau serta kajian pembangunan baka akuakultur yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
Pelbagai insentif dan menambah baik insentif sedia ada dilaksanakan untuk golongan sasar seperti subsidi dan insentif untuk industri padi dan beras, subsidi ayam dan telur kepada penternak, menawarkan pinjaman mudah kepada penternak di bawah Dana Pembiayaan Agromakanan bagi mengatasi masalah modal pusingan akibat kenaikan kos pengeluaran.
Penyaluran bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) diteruskan bagi aktiviti pertanian dan agromakanan yang terjejas.
MODEN
Selain itu menurut Fadillah dan Mohamad, penggunaan teknologi moden seperti fertigasi dan control environment farming turut digalakkan.
Dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan import, Program Smart SBB diperluaskan menerusi Model Mini Sekinchan untuk dilaksanakan di beberapa negeri lain.
Ini termasuk pemerkasaan pengeluaran ikan melalui akuakultur yang menyasarkan pengeluaran akuakultur berbanding perikanan tangkapan pada nisbah 60:40.
“Sasaran penghasilan jagung bijian 600,000 tan metrik yang dapat mengurangkan kebergantungan import makanan ternakan sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2032.
“Bahan makanan ternakan alternatif dibangunkan seperti Black Soldier Fly (BSF) dan Palm Kernel Expeller (PKE) atau Palm Kernel Cake (PKC) dan pemerkasaan industri benih tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada input pertanian,” kata mereka.
Kerajaan turut memperluaskan penternakan secara fidlot dengan tumpuan kepada pemerkasaan lembu pedaging untuk mencapai Kadar Sara Diri (SSR) sebanyak 50 peratus pada 2030.
Kedua-duanya berkata, Belanjawan 2024 akan memperkasakan lagi peranan dan pelaksanaan Program Jualan AgroMadani di bawah KPKM melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Sebanyak 5,000 tambahan lokasi akan diperluaskan ke seluruh negara bagi pelaksanaan program berkenaan dengan penjimatan harga jualan antara 10 – 30 peratus lebih rendah dari harga pasaran.
“Pihak kerajaan yakin perancangan disediakan menjelang Belanjawan 2024 mampu membantu golongan terkesan seperti nelayan, petani dan penternak,” kata mereka.
“Ia bagi meringankan beban dihadapi dan seterusnya meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara,” katanya di sini semalam. – UTUSAN










