Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar memukat ikan

Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar memukat ikan

NIK Suliana Bikri Kamal (kanan) dipeluk oleh ahli keluarga semasa berada di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kuala Kemasin, Bachok, Kelantan-UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Tiga nelayan termasuk dua beranak dikhuatiri hilang selepas keluar memukat ikan di sekitar perairan di Pantai Kemasin di sini semalam.

Mangsa, Rohimi Ahmad, 47, bersama anak tirinya, Muhammad Syafiqrullah Abdul Hafiz, 21, dan rakan, Muhammad Amir Zulfikar Che Wil, 29, dipercayai hilang selepas tidak pulang ke rumah mereka kira-kira pukul 4 petang semalam.

Isteri Rohaimi, Nik Suliana Bikri Kamal, 41, berkata, dia rasa tidak sedap hati selepas menyedari dua ahli keluarganya tidak pulang ke rumah sebelum memaklumkan kepada menantunya, Raja Muhamad Shamsul Amir, 31, yang juga pemilik bot yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.

Menurutnya, dia yang ditemani Raja Muhamad Shamsul turun ke laut pada pukul 9 malam tadi dengan menggunakan bot rakan-rakan menantunya untuk mencari suami dan anak, namun mereka gagal menemui bot yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.

“Kebiasaannya, suami dan anak saya keluar memukat ikan di perairan Pantai Kemasin kira-kira pukul 3 pagi. Mereka akan pulang kira-kira 12 jam kemudian iaitu antara pukul 3 hingga 4 petang.

“Saya dan menantu ada menghubungi rakan-rakan lain untuk mengetahui keadaan mereka selepas beberapa jam hilang tanpa khabar berita,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kemasin di sini, hari ini.

Nik Suliana memberitahu, cuaca di tengah lautan petang semalam yang berkabus berkemungkinan menyebabkan bot yang dinaiki ketiga-tiga mangsa gagal menemui jalan pulang.

Katanya, nelayan-nelayan lain yang turun ke laut semalam turut memaklumkan mereka ada ternampak bot yang dinaiki suaminya itu menghala ke arah Pantai Sabak.

“Cuaca semalam baik meskipun sedikit berkabus. Sekiranya hujan atau ribut, suami saya pasti tidak akan turun ke laut kerana bimbang bot terbalik dibadai gelombang lautan.

“Menantu saya sekali lagi keluar mencari mereka pagi tadi, namun masih belum menemui bot yang dinaiki suami, anak dan rakannya itu,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, bertindak atas aduan, Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRSC) mengaktifkan Op Carilamat mangsa kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Katanya, bot Perkasa 47 bergerak ke lokasi terakhir bot yang dinaiki mangsa iaitu kira-kira 17 batu nautika dari Kuala Kemasin di sini.

“Operasi mencari ketiga-tiga mangsa dimulakan pada pukul 7 pagi tadi dengan melibatkan Bot Perkasa 33 dengan keluasan radius pencarian 42 batu nautika persegi dengan penglibatan seramai 14 orang pegawai dan anggota.

“Pencarian turut dibantu oleh tiga buah bot nelayan tempatan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN