Tambang percuma myBas buat pelajar sekolah di Seremban, Ipoh, JB - Utusan Malaysia

Tambang percuma myBas buat pelajar sekolah di Seremban, Ipoh, JB

ANTHONY Loke Siew Fook melihat inisiatif penggunaan kad myBas Konsesi selepas mengumumkan inisiatif Tambang Percuma myBas Konsesi Bagi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Program SBST di Terminal 1, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bermula hari ini menawarkan tambang percuma bagi perkhidmatan bas berhenti-henti myBas di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti atau (SBST).

Ia akan mula dilaksana di Seremban, Ipoh dan Johor Bahru, dijangka lebih 2,500 pengguna golongan sasar akan menikmati manfaat subsidi kos perjalanan yang diberikan di ketiga-tiga bandar raya tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, orang kurang upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta warga emas berumur 60 tahun ke atas merupakan golongan sasar warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk menerima manfaat tambang percuma myBas Konsesi ini.

Turut layak menerima manfaat daripada inisiatif terbabit adalah kanak-kanak serta pelajar sekolah berumur tujuh hingga 17 tahun yang bersekolah di kawasan liputan perkhidmatan myBAS.

“Ini adalah satu lagi tawaran atau inisiatif kami tawarkan bermula hari ini, walaupun saya boleh buat pengumuman semasa kempen pilihan raya tetapi kami elakkan, tidak mahu dilihat sebagai gula-gula pilihan raya. Ini memang inisiatif yang mahu kami laksanakan dan bawa kepada rakyat terutama bagi tujuan menggunakan pengangkutan awam.

“Bagi semua laluan yang mempunyai program SBST MyBAS ini di tiga buah bandar raya terlibat, kita mulakan perkhidmatan percuma kepada golongan yang disebut tadi. Prosesnya sangat ringkas, mereka hanya perlu mendaftar sekali sahaja dan kemudian membaharui kad myBas Konsesi itu secara tahunan,” katanya.

Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian dalam sidang akhbar mengumumkan inisiatif Tambang Percuma myBas Konsesi Bagi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Program SBST di Terminal 1, di sini hari ini.

Jelas beliau, terdapat sebanyak 12 kaunter pendaftaran kad myBas Konsesi itu di ketiga-tiga buah bandar raya tersebut termasuk di Terminal 1, Seremban; Terminal Bas Port Dickson; Stesen Bas Medan Kidd (Ipoh) dan Terminal Bas Gelang Patah, Johor Bahru.

“Kami akan cuba perluaskan ke tempat-tempat lain, sementara ini hanya laluan-laluan yang ada myBas sahaja, untuk Negeri Sembilan memang banyak laluan myBas, ini memang dapat meringankan kos pengangkutan mereka (golongan sasar).

“Kami harap inisiatif ini dapat berikan manfaat kepada seramai yang mungkin dalam golongan tersebut, sebelum ini memang dilihat¬† penggunaannya tidak ramai dalam kalangan mereka, saya yakin apabila dibuat inisiatif ini, lebih ramai akan memohon.

“Berkenaan implikasi kewangan, kerajaan sememangnya telah membayar amaun tetap kepada pihak pengendali, terhadap perkhidmatan mereka, ada penumpang atau tidak ada penumpang, jumlah amaun itu tetap dibayar dan menerusi inisiatif ini tiada implikasi kos kepada kerajaan,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya