MIRI: Biojisim kini disifatkan bahagian penting dalam usaha tambah nilai kepada sektor agrikomoditi negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ujarnya, biojisim merupakan ekonomi pekeliling dalam pelbagai bentuk seperti kelapa sawit, pokok getah dan biojisim kayu.
Fadillah yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi turut berkata, bahan mentah yang diperbuat daripada produk kayu itu akan turut memberi nilai tambahan sektor agrikomoditi selain mengurangkan sisa, penebangan hutan dan pelepasan karbon.
“Biojisim diiktiraf sebagai bahagian penting dalam ekonomi pekeliling dengan beberapa usaha sedang dijalankan untuk memanfaatkan kelapa sawit, pokok getah dan biojisim kayu dalam pelbagai bentuk.
“Penukaran batang kelapa sawit kepada bahan mentah untuk produk kayu adalah contoh kerjasama merentas komoditi untuk mencipta nilai tambahan bagi sektor agrikomoditi.
“Selain itu, ia juga dapat meminimumkan sisa, mengurangkan penebangan hutan dan mengurangkan pelepasan karbon,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Pameran & Persidangan Teknologi Pengilangan Minyak Sawit (POMTEC) 2023, di Hotel Imperial Miri hari ini.
Produk biojisim seperti sisa akhir efluen sawit, tandan buah kosong, kek decanter dan gentian kelapa sawit yang ditekan boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk nilai tambah baharu atau sumber tenaga alternatif untuk menjana kemudahan pengeluaran dengan mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula bahan-bahan yang biasanya kurang digunakan dalam ekonomi linear semasa.
Melalui Dasar Agri Komoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030), Pelan Tindakan Biojisim diperkenalkan khusus untuk sektor agrikomoditi dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) juga menggariskan ‘merealisasikan potensi industri biojisim’ sebagai strategi memacu pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) dalam negara.
Justeru, Fadillah mendedahkan kementeriannya kini giat menyelaras pembangunan Pelan Tindakan Biojisim Kebangsaan 2022-2025 yang meliputi penggunaan dan pemprosesan biojisim kepada produk dengan nilai komersial daripada pelbagai sektor.
“Pada masa ini, kementerian giat menyelaras pembangunan Pelan Tindakan Biojisim Kebangsaan 2022-2025 yang meliputi biojisim daripada perladangan, perhutanan, pertanian, penternakan dan perikanan.
“Penggunaan dan pemprosesan biojisim pertanian secara sistematik kepada produk dengan nilai komersial akan menjana pendapatan baharu dan mengubah ekonomi linear semasa dalam industri kepada ekonomi bulat yang membantu mengurangkan kedua-dua penebangan hutan dan pelepasan karbon,” tambahnya. -UTUSAN