Sarjan Mejar tidak mengaku salah 98 tuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Sarjan Mejar tidak mengaku salah 98 tuduhan rasuah

TERTUDUH (tengah) tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 98 pertuduhan rasuah. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas 98 pertuduhan rasuah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Anuar Yaakub, 54, mengaku tidak bersalah menerima suapan RM31,400 selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Anuar yang ditugaskan sebagai Ketua Balai Cherating didakwa menerima wang daripada beberapa individu melalui transaksi perbankan secara dalam talian yang dimasukkan dalam akaun miliknya berjumlah antara RM100 hingga RM2,000, di lima lokasi berbeza di sekitar daerah ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya antara Januari 2021 sehingga Oktober 2022 dan kesemua pertuduhan tersebut dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika disabitkan dengan kesalahan itu.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili tertuduh memohon agar wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga anak serta menjaga ibu bapanya berusia 73 tahun dan 76 tahun.

Dalam pada itu juga, beliau turut menjelaskan bahawa anak guamnya itu telah berkhidmat selama 33 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pendapatan bersih RM3,000.

Mahkamah menetapkan Anuar dikenakan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan bermula September depan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan.

Kes ditetapkan pada 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya