Tiada pemimpin utama bukti BN-PH tidak serius rampas Kelantan

PRN: Tiada pemimpin utama bukti BN-PH tidak serius rampas Kelantan

WAN Roslan Wan Hamat pada sidang media harian PN sempena PRN di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ketiadaan pemimpin utama Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) yang diangkat sebagai calon memberi isyarat gabungan itu seperti tidak serius mahu mengambil alih Kelantan pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, situasi itu berbeza dengan parti itu bersama rakan sekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menampil pemimpin utama sebagai calon.

“Jadi ia memberi gambaran umum bahawa mereka (BN-PH) tidak benar-benar serius untuk mengambil alih negeri ini. Semua pengerusi parti komponen mereka tidak bertanding dan sedangkan itu adalah elemen penting.

“Sebab itu pengerusi-pengerusi parti komponen PN semua bertanding. Ia bertujuan untuk menunjukkan kesungguhan kita mahu mempertahankan Kelantan,” katanya pada sidang media harian Perikatan Nasional (PN) sempena PRN di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Roslan memberi jaminan bahawa fungsi semak dan imbang akan tetap berjalan di dalam sidang DUN sekiranya PN benar-benar mencapai keputusan 45-0 pada PRN kali ini.

Katanya, PN telah menawarkan dan mengangkat calon-calon terbaik kepada rakyat yang boleh membawa suara mereka di dalam sidang DUN.

“Setiap kali sidang DUN, kita akan bentang program-program yang akan dilaksanakan untuk mendapat cadangan, usul dan komentar daripada wakil-wakil rakyat.

“Tidak semestinya dengan ketiadaan pembangkang, fungsi semak dan imbang tidak dapat dijalankan. Secara asas, kita tidak mencampurkan politik dan pentadbiran,” ujarnya.

Wan Roslan berkata, asas itu juga menyaksikan jawatan-jawatan utama di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) diisi oleh pegawai kerajaan dan bukan oleh orang politik.

Katanya, keputusan itu menandakan sudah ada semak dan imbang dilaksanakan dalam pentadbiran sekali gus mengekalkan mutu pentadbiran bersih, stabil selain adil sepanjang 33 tahun mentadbir Kelantan.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN