Sokongan terhadap BN semakin meningkat - Ismail Sabri

Sokongan terhadap BN semakin meningkat – Ismail Sabri

BN
ISMAIL Sabri Yaakob hadir pada program Kenduri Rakyat di Felda Sungai Kelamah, Tampin malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Sokongan secara terbuka yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri di enam buah negeri semakin jelas kelihatan termasuk di negeri-negeri tertentu yang menjadi kubu kuat parti pembangkang. 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berdasarkan maklum balas yang diperolehnya ketika turun berkempen di beberapa lokasi di Negeri Sembilan dan Terengganu. 

“Saya sudah pergi ke beberapa tempat seperti di Negeri Sembilan, dua kawasan Parlimen iaitu Kuala Pilah dan Tampin. Saya pergi ke Terengganu iaitu di Besut. 

“Nampak progresnya begitu baik. Saya lihat dari satu tempat ke tempat yang saya pergi, sokongan secara terbuka kepada BN amat jelas, walaupun negeri-negeri tertentu seolah-olah parti lain itu begitu kuat tetapi apabila saya pergi, sambutannya amat memberangsangkan. 

“Jadi saya rasa ini merupakan isyarat kepada undi yang akan diberikan 12 Ogos nanti,” katanya selepas menghadiri program Kenduri Rakyat di Felda Sungai Kelamah di sini malam tadi. 

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar. 

Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera berkata, sukar untuk menjangkakan gelombang yang sama dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 turut berlaku dalam PRN ini.

“Saya mungkin tidak pergi ke semua negeri tetapi di kawasan yang saya pergi seperti di di Felda Sungai Kelamah, sambutannya meriah dan responnya begitu positif pada BN. 

“Di sini dan juga Besut merupakan kubu UMNO. Jadi sambutan yang memberangsangkan dan saya harap sambutan di sini dan Terengganu sama di tempat lain,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN