PRN: MTUC saran cuti khas Sabtu ini

PRN: MTUC saran cuti khas Sabtu ini

GAMBAR HIASAN-ORANG ramai termasuk warga Bemas beratur seawal pukul 8 pagi bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15 di Parlimen Padang Serai di Sekolah Kebangsaan Bukit Selarong. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyarankan hari pengundian enam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini dijadikan cuti khas bagi memberi peluang kepada golongan pekerja untuk mengundi. 

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, kerajaan di saran untuk meneliti permintaan itu untuk memberi keselesaan kepada pekerja yang pulang ke kampung halaman bagi menjalankan tanggungjawab kepada negara.

“MTUC menerima rungutan daripada pekerja bahawa terdapat majikan mengeluarkan pekeliling bagi membenarkan pekerja keluar mengundi dalam tempoh dua jam. 

“Majikan akan mengambil tindakan jika melebihi masa yang dibenarkan. Arahan ini menimbulkan kerisauan kepada pekerja dan boleh menjejaskan kehadiran pekerja untuk mengundi.

“Bagi menjayakan proses demokrasi yang ditentukan, majikan seharusnya memberi kebenaran tanpa syarat. Kerajaan perlu campur tangan dengan memberi cuti khas kepada pekerja bagi membolehkan pekerja memilih wakil rakyat tanpa takut di ambil tindakan disiplin,” katanya dalam kenyataan. 

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, MTUC turut bimbang dengan peratusan keluar mengundi akan terjejas dan berkurangan sekiranya ada halangan bagi pekerja untuk keluar mengundi.

“Keterlibatan pekerja dalam pengundian akan mencorak masa depan negara. Pekerja akan memilih wakil rakyat dan menyuarakan pandangan mereka melalui peti undi. 

“MTUC berharap pekerja menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan tidak tergesa gesa bagi mengelakkan kemalangan semasa pergi dan balik daripada tempat kerja ke tempat pengundian,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN