DUN Permaisuri di hati Abang Ha

DUN Permaisuri di hati Abang Ha

DUN Permaisuri di hati Abang Ha
HAMDAN Hamzah (tengah) bergambar bersama penduduk ketika berkempen di Kampung Tasik, Permaisuri, Setiu, Kuala Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Sikapnya ramah dan mudah didekati membuatkan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Hamdan Hamzah disenangi penduduk.

Terkenal dengan panggilan Abang Ha, beliau bertekad mahu memperkasa tiga teras utama iaitu pertanian dan penternakan, industri pelancongan serta kebajikan nelayan di DUN Permaisuri jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Sebagai anak jati Kampung Guntong Luar, Hamdan berkata, setiap ceruk kawasan DUN Permaisuri begitu dekat di hatinya dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan dan menyampaikan bantuan kepada orang miskin, orang kurang upaya (OKU) serta pesakit kronik.

Menurutnya, malah UMNO Bahagian Setiu khususnya prihatin dengan kebajikan penduduk sama ada ketika susah atau senang, UMNO sentiasa dekat dengan mereka apatah lagi jika dilanda musibah se­perti banjir, kebakaran, ribut dan kemalangan.

“Penduduk sakit sentiasa UMNO ziarah, beri bantuan jika perlukan pembedahan, pengangkutan ke hospital dan kelengkapan rawatan hingga ke janji temu susulan, insya-Allah sentiasa dalam makluman.

“Semua tradisi ini kita teruskan dan saya juga akan memastikan DUN Permaisuri berubah wajah sekiranya BN terus diberi mandat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

LOKASI

Beliau berjanji akan melonjakkan potensi pelancongan berasaskan alam semula jadi di beberapa lokasi menarik seperti Tanah Bencah Setiu, Kampung Mangkuk, Pantai Penarik dan Pantai Rhu 10.

Katanya, industri pelancon nadi utama dalam DUN Permaisuri yang banyak menyediakan peluang kepada anak muda dan UMNO Setiu akan berusaha mencari pelabur untuk membina hotel, resort atau chalet di sepanjang pantai memandangkan akses yang berdekatan de­ngan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus.

Selain itu, kata Hamdan, sektor pertanian juga akan diperkasa dengan lebih banyak perancangan mapan serta kondusif bagi jangka masa panjang khususnya industri penternakan udang di Kampung Nyatoh dan penanaman tembikai di sekitar kawasan Permaisuri.

“Beberapa kemudahan juga akan ditingkatkan untuk nelayan di jeti Gong Batu, Kampung Fikri dan Merang serta kawasan berdekatan,” katanya. – UTUSAN

 

Latar belakang Hamdan Hamzah 

Pendidikan
» Diploma Pengurusan Personnel (Sumber Manusia) di Kolej Ugama Sultan
Mizan Zainal Abidin
(KUSZA – 1989 hingga 1984)

Politik
» Setiausaha UMNO Bahagian Setiu (2023 – sekarang)
» Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Setiu (2013 – 2023)
» Setiausaha PDM Guntong Luar (2015 – 2018)
» Ketua Cawangan UMNO Air Sejuk (2008 – sekarang)

Kerjaya

» UMNO Bahagian Setiu (Setiausaha Kerja – 2013 hingga 2023)
» Serasi MH Enterprise
(2007 – 2013)
» Pegawai Perkim Negeri Terengganu (1994 – 2007)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×