PETALING JAYA: Dua kertas siasatan dibuka polis berkaitan dakwaan penggunaan MyKad oleh individu lain di dua pusat pengundian di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, laporan diterima melibatkan dua pengundi masing-masing di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Buloh dan pusat pengundian SMK Subang Bestari.
Kata beliau, laporan pertama dibuat pada pukul 1.12 petang tadi oleh seorang guru wanita berumur 53 tahun manakala laporan kedua pula melibatkan seorang suri rumah berusia 44 tahun.
“Menerusi kedua laporan yang dibuat, mangsa mendakwa tidak dapat membuat pengundian setelah semakan dijalankan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mendapati nombor MyKad miliknya sudah membuat pengundian sebelum itu.
“Mangsa yang tidak berpuas hati dengan kejadian tersebut kemudiannya tampil membuat laporan polis sejurus selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, kata beliau, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Siasatan lanjut berkaitan kes ini sedang dijalankan pihak polis.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” jelasnya.
Terdahulu, tular dalam media sosial mengenai hantaran yang dimuat naik seorang individu yang mendakwa tidak dapat membuat pengundian di salah sebuah lokasi di Sungai Buloh.
Mangsa mendakwa MyKad miliknya didaftarkan terlebih dahulu dan sudah mengundi.-UTUSAN