PRK: Mat Sabu yakin pengundi, termasuk Melayu sokong PH-BN - Utusan Malaysia

PRK: Mat Sabu yakin pengundi, termasuk Melayu sokong PH-BN

MOHAMAD SABU mengangkat tangan Suhaizan Kaiat (empat dari kanan) dan Nazri Abdul Rahman (tiga dari kiri) pada Majlis Pengenalan Calon PH Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Hotel Thistle, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu yakin para pengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan menyokong calon kerajaan perpaduan.

Sebaliknya, beliau berkata, peningkatan sokongan pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) di negeri utara dan pantai timur tidak akan berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor.

“(Gelombang PN sampai ke Johor) Itu saya tidak mahu komen, biarlah mereka yang bercakap sesama sendiri hal itu. Sebaliknya saya mahu fokus kepada kekuatan kita sendiri. Kami akan bekerjasama sebaik mungkin bersama rakan-rakan komponen termasuk sahabat baharu kami, iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memenangkan calon kami.

“Kami juga yakin akan dapat tingkatkan jumlah undi yang diterima berbanding pilihan raya di kedua-dua kerusi berkenaan kerana Pulai dan juga Simpang Jeram bukan kawasan pro PN, sebaliknya adalah pro PH dan BN,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pengenalan Calon PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Hotel Thistle, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Naib Presiden Amanah, Adly Zahari dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

PH mencalonkan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat di kerusi Parlimen Pulai, manakala Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman di DUN Simpang Jeram.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan bahawa PRK itu adalah sebagai referendum rakyat, sebaliknya  proses demokrasi biasa yang perlu dilaksanakan.

“Selain itu, momentum jentera kita juga dalam keadaan baik, boleh dilihat dalam sidang akhbar ini dimana wakil semua parti dalam kerajaan perpaduan turut hadir, DAP ada, PKR ada serta UMNO dan BN juga ada. Jadi saya yakin, suasananya akan lebih hebat lagi pada hari mengundi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.

PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN