JOHOR BAHRU: Bukan satu atau dua, tetapi 11 kain rentang yang tertera mesej ‘cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan propaganda pihak tertentu untuk memecahbelahkan perpaduan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Barisan Nasional (BN) enggan melayan provokasi tersebut dengan tidak membuat laporan polis tentang perbuatan itu.
“Ada 11 kain rentang saya kira dipasang oleh pihak mereka, kononnya ketua cawangan Bahagian Pulai ini tidak menyokong calon PH. Saya ingin menafikan tentang perkara itu dan saya yakin mereka yang memasang, saya tak nak sebut siapa mereka itu.
“Kain rentang itu diturunkan seawal mungkin dan tidak ada siapa pun yang melaporkan mengenainya sedangkan ia melanggar Akta Pilihan Raya kerana tidak ada nama siapa yang mencetak atau yang menerbitkan. Ini bererti ia bertujuan untuk memecah-belahkan perpaduan yang ada,” katanya ditemui selepas melawat melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Bukit Kempas, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Ramli Bohani dan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.
Sebelum ini, tular dalam media sosial gambar kain rentang yang dipercayai dipasang di kawasan parlimen tersebut yang menyampaikan mesej penolakan itu.
Susulan itu, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan turut menafikan terdapat penolakan dalam kalangan ahli parti itu terhadap calon kerajaan perpaduan di dalam PRK Parlimen Pulai.
Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, sambutan yang diterima ketika melawat PDM di kawasan Parlimen itu amat baik dan menyatakan sokongan terhadap calon yang dipilih itu.
Katanya, parti telah membuat keputusan akan mengadakan program bersama yang dihadiri calon bagi menampakkan kesepakatan antara gabungan PH dan BN untuk memenangkan Suhaizan di kerusi tersebut.
“Semalam, saya bertemu dengan tujuh ketua cawangan daripada dua PDM di Kampung Pasir dan Sri Serdang dan beberapa PDM pada hari ini, tiada seorang pun ketua cawangan menyatakan tak setuju tentang calon. Jadi, saya anggap itu hanyalah propaganda pihak mereka untuk pecah-belahkan perpaduan.
“Datuk Ramli akan menyelaras dan membantu segala program yang dihadiri calon, saya amat yakin bahawa tidak ada seorang pun daripada rakan UMNO dan BN tak bersetuju dengan beliau, kita sudah sampai tahap kematangan politik yang membawa kepada usaha kebersamaan ini,” katanya. – UTUSAN