PRK: Apa sifir diguna PN, tak munasabah - Suhaizan - Utusan Malaysia

PRK: Apa sifir diguna PN, tak munasabah – Suhaizan

SUHAIZAN KAYAT bersalaman dengan seorang pengundi semasa berkempen di Taman Sutera, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sifir matematik digunakan Perikatan Nasional (PN) dalam menarik sokongan pengundi dengan mendakwa kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dapat membantu mereka menjadi kerajaan adalah tidak munasabah.

Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat berkata, kepimpinan PN termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu menjelaskan kepada pengundi apakah sifir matematik yang digunakan.

“Saya sendiri tidak jelas bagaimana cara mereka berfikir atau sifir matematik apa yang digunakan kerana walaupun kerajaan perpaduan tewas dalam PRK ini, gabungan PH dan BN (Barisan Nasional) masih ada majoriti yang banyak dalam Parlimen.

“Sekarang ada 148 kerusi, kalau kalah satu sekalipun ia akan jadi 147 kerusi, kerajaan tidak tergugat. Ini sebenarnya sekadar majoriti dua pertiga kerusi sahaja, bukan usaha jatuhkan kerajaan,” katanya ditemui semasa berkempen di Taman Sutera, di sini.

Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor percaya bahawa kaedah digunakan PN itu tidak akan dapat menarik sokongan pengundi kerana rakyat negeri ini bijak dalam menilai sesuatu propaganda.

“Mungkin itu kaedah yang dia gunakan tetapi matematiknya tidak tepat, saya sudah sebut bahawa Johor ini unik kerana rakyatnya mengambil sikap sederhana dalam pelbagai perkara, termasuk menilai sebarang propaganda.

“Apapun, saya tetap yakin dengan usaha yang telah kita lakukan, pengundi di PRK Pulai dan juga Simpang Jeram akan terus menyokong kerajaan,” jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 9 September ini sebagai hari pengundian bagi PRK tersebut ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN