Polis siasat kenyataan Hadi pertikai kuasa Lembaga Pengampunan - Utusan Malaysia

Polis siasat kenyataan Hadi pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

ABDUL HADI AWANG semasa berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas Pas Bakri, Muar Sabtu lalu yang menimbulkan kontroversi kerana mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kenyataan kontroversi Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan semasa Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) di Markas Pas Bakri, Muar mengundang padah.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Marang itu.

“Polis Kontinjen Johor mengesahkan telah menyiasat kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas pas kawasan Bakri.

“Atas tindakannya mengeluarkan kenyataan tersebut, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

“Abdul Hadi boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa berucap di hadapan kira-kira 500 penyokong parti itu Sabtu lalu, Presiden Pas itu bukan sahaja membidas bekas pemimpin Pas yang keluar parti membentuk Parti Amanah Negara (Amanah), malah mempersoalkan mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya.

Beliau dilaporkan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.

Katanya, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.

“Termasuk (mengenai) pengampunan. Kes jenayah dalam Islam, yang berhak mengampun adalah mangsa jenayah. Kalau dia mati, (melibatkan) kes bunuh, adik beradik dia, ibu bapa dia atau wali dia yang berhak mengampun, bukan lembaga pengampunan.

“Lembaga pengampunan ini ialah Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Peguam Negara,” katanya ketika dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri.

Yang turut hadir ke ceramah itu adalah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Dr. Radzi Jidin dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

Kamarul Zaman menasihati orang ramai agar tidak menyentuh isu 3R, iaitu institusi diraja, agama dan kaum demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam. 

“Tindakan akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika menyentuh isu berkenaan,” tegasnya.  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN