TANAH MERAH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat Perikatan Nasional (PN) hanya pandai mendakwa lebih hebat namun hakikatnya mereka gagal dalam melaksanakan tugas semasa menjadi kerajaan sebelum ini.
Beliau berkata, walaupun usia Kerajaan Perpaduan lapan bulan namun ia lebih baik berbanding pentadbiran di bawah Perikatan Nasional (PN) sepanjang tempoh tiga tahun lalu.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu pelbagai pembaharuan yang sudah dilakukan termasuk meluluskan peruntukan RM1.4 bilion untuk membaik pulih tandas sekolah dan RM500 juta peruntukan segera untuk masalah air di Kelantan.
“Pada masa sama, saya turut meluluskan peruntukan RM200 juta untuk menaik taraf kuarters polis selepas mendapati kediaman berkenaan agak daif.
“Peruntukan RM40 juta untuk meningkatkan infrastruktur dan fasiliti terutama kuarters petugas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di Lahad Datu turut diluluskan oleh saya, memandangkan permohonan mereka dengan kerajaan sebelum ini tidak dilayan,” katanya kepada semasa berucap pada Majlis Jelajah Perpaduan Madani Kelantan di Pusat Operasi BN Tanah Merah di sini malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Tambun itu turut mempersoalkan apa yang dilakukan oleh pemerintahan PN selama tiga tahun menjadi kerajaan.
“Namun hari ini mereka mencaci, keji saya sebagai Perdana Menteri, macam-macam kata Anwar tipu, gelarkan saya dengan kata-kata kesat setiap kali siri ceramah mereka,” ujarnya.-UTUSAN