JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai menyaksikan pertandingan tiga penjuru selepas tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi ini.
Pegawai Pengurus PRK Parlimen Pulai, Miswan Yunus mengumumkan perkara itu di pekarangan Pusat Penamaan Calon PRK Parlimen Pulai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.
Tiga calon yang bertanding ialah Suhaizan Kayat mewakili Pakatan Harapan (PH)
Dua lagi calon ialah daripada Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar serta seorang calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
“Setelah memeriksa, Suhaizan menghantar kertas penamaan pada pukul 9.02 pagi, kedua Zulkifli menghantar kertas penamaan pada pukul 9.04 pagi, manakala ketiga Samsudin pada pukul 9.08 pagi.
“Setelah disemak, saya puas hati dan umumkan tiada yang ditolak kertas penamaannya,” katanya.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.
Parlimen Pulai mempunyai seramai 167,108 pengundi. – UTUSAN










