KOTA BHARU: Perkhidmatan beca di negeri ini berkemungkinan besar akan pupus selepas golongan muda dilihat kurang berminat untuk menjadi pelapis dalam menyambung legasi perkhidmatan tersebut pada masa hadapan.
Pengerusi Pengayuh Beca Kota Bharu, Che Udi Che Pa, berkata, setakat ini pihaknya mempunyai 17 orang pengayuh yang masih aktif mencari ‘rezeki’ di sekitar bandar ini.
Menurutnya, kesemua pengayuh itu sudah berusia antara 50 hingga 70 tahun ke atas.
“Bagaimanapun besar harapan saya agar perkhidmatan ini kekal kerana ia merupakan ‘warisan’ yang perlu dipertahankan. Beca merupakan salah satu perkhidmatan awam yang cukup popular satu masa dahulu.
“Saya lihat faktor pendapatan yang tidak seberapa menjadi punca golongan muda kurang berminat untuk menjadikan pengayuh beca sebagai kerjaya,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Kayuhan Beca Merdeka Anjuran Crown Garden Hotel di sini hari ini.
Pada majlis itu, Pengurus Crown Garden Hotel, Alan Tan Chee Lim turut menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur dan saguhati kepada pengayuh beca.
Che Udi memberitahu, sebelum ini pelbagai pihak sudah membantu ‘menghidupkan’ perkhidmatan beca supaya dapat dikekalkan sebagai salah satu produk pelancongan di bandar ini.
Katanya, bagaimanapun mereka perlu ‘kental’ untuk bersaing dengan pengangkutan awam lain termasuk e-hailing.
Seorang pengayuh Mat Yunan Ahmad, 61, mengakui ketika ini dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan pelanggan.
Katanya, kebanyakan pelanggan hari ini adalah pelancong yang mahu melihat kawasan sekitar Kota Bharu.
“Selain itu, saya turut mengambil upah menghantar barang ke Pasair Siti Khadijah bagi memastikan dapur terus berasap untuk menyara keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Firdaus Mohd. Zaidi, 36, berkata, dia baru berjinak-jinak membawa beca milik peninggalan arwah datuknya selepas menamatkan perkhidmatan sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Putrajaya, Selangor, pada April lalu,
Katanya, dia mengambil keputusan itu kerana menjaga ibu yang sakit di kampung.
“Saya sedia menjadi pelapis baru, walaupun tidak sepenuh masa,” katanya.-UTUSAN