JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar tidak mahu ambil pusing pergolakan dalaman UMNO Bahagian Pulai, sebaliknya mahu memberi tumpuan untuk memperkemaskan pergerakan jenteranya.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai itu berkata, pergolakan itu tidak dianggap kelebihan bagi dirinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September ini.
“Kita tak menganggap situasi semasa yang berlaku dalam UMNO Bahagian Pulai kelebihan buat diri saya. Jika kita melayan atau bergantung dengan keadaan itu, kita akan lemah dan berkhayal. Jika bergolak sekali pun, belum tentu mereka sokong saya.
“Bagi saya, tak ada jalan singkat untuk berjaya dan perlu bekerja keras. Apa yang berlaku dalam UMNO Pulai itu boleh dikatakan sebagai bonus, tidak lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Kempas, di sini hari ini.
Minggu lalu sebanyak 11 kain rentang dengan tertera mesej ‘Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan’ yang digantung di sekitar kawasan Parlimen Pulai tular dalam media sosial.
Susulan itu, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menjelaskan tindakan itu bukan dilakukan ahli UMNO, tetapi pihak lawan yang mahu memecahbelahkan perpaduan parti itu.
Mengulas lanjut, Zulkifli menegaskan pihaknya tiada masa untuk melakukan perbuatan itu yang disifatkan sebagai membazir wang sahaja.
“Daripada saya membelanjakan duit untuk membuat kain rentang itu, lebih baik saya gunakan sebagai kempen jentera saya, itu lebih berfaedah,” katanya.
Zulkifli turut memaklumkan bahawa beliau tidak mahu terlalu selesa dengan dakwaan gelombang hijau akan membantunya memenangi PRK tersebut.
“Pada saya pokok pangkalnya adalah kerja keras mendekati dan menyantuni penduduk di kawasan ini, itu lebih efektif supaya mereka kenal dan tahu apa agenda yang saya cuba bawa,” katanya. – UTUSAN










