PETALING JAYA: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 akan bermula 5 Disember ini sejajar dengan langkah dirancang oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini untuk mengembalikan sesi permulaan persekolahan kembali kepada asal iaitu pada bulan Januari secara beransur-ansur.
Peperiksaan itu akan bermula dengan ujian amali sains pada 5 Disember, diikuti ujian bertutur pada 8 Januari manakala peperiksaan bertulis pada 30 Januari 2024 dengan kertas terakhir pada 7 Mac 2024.
Ini berbeza dengan jadual yang dihadapi oleh pelajar-pelajar SPM 2022 yang bermula pada 30 Januari sehingga 15 Mac lalu.
KEMBALIKAN
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, langkah mengawalkan SPM 2023 merupakan langkah pertama untuk mengembalikan jadual persekolahan kembali seperti sedia kala.
Jelasnya, perkara itu penting kerana tarikh perperiksaan yang paling sesuai adalah seperti sebelum pandemik iaitu pada bulan November dan Disember yang merupakan tempoh cuti yang panjang, sekali gus memudahkan KPM menggunakan waktu dan ruang yang ada untuk menjalankan peperiksaan.
“Keputusan SPM ini kita kena tunggu sehingga tiga bulan kemudian selepas tamat tempoh peperiksaan. Jadi elok sangat ia dikembalikan seperti biasa bagi memudahkan pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran.
“Dalam tiga ke empat tahun akan datang, jadual persekolahan mahupun perperiksaan akan kembali seperti biasa. Menganjak ia tidak akan memberi kesan kepada pelajar kerana ia hanya dipercepatkan sedikit tetapi masih memastikan masa untuk belajar itu cukup,” katanya.
LIPAT GANDA
Sementara itu, pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Mohd Nazri Abdul Rahman berkata, pelajar perlu melipatgandakan usaha untuk memastikan mereka dapat menghabiskan silibus mata pelajaran.
“Adakah dengan diawalkan SPM 2023 ini mengganggu 190 hari persekolahan dan adakah kurikulum untuk pelajar tingkatan lima sempat dihabiskan. Ini persoalan yang perlu diambil kira dalam guru-guru merangka pengajaran mereka.
“Kalau tidak cukup masa persekolahan, secara tidak langsung kurikulum pasti tidak sempat disiapkan. Maka guru-guru bergegas untuk menyiapkan dan sekolah pasti menjadi kelam kabut kerana perlu membuat persediaan.
“Mungkin pelajar perlu berlipat ganda masa pembelajaran mereka hanya kerana mengejar silibus sebelum perperiksaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Peperiksaan SPM yang diadakan pada penghujung Februari mula dilaksanakan bagi SPM 2020 selepas negara dilanda peningkatan kes Covid-19 sehingga menyebabkan sesi persekolahan ditangguhkan.
Pada masa sama, sesi persekolahan pada Mac pula dilaksanakan buat pertama kali pada sesi akademik 2022/2023 dan diikuti sesi 2023/2024. – UTUSAN










