Penganggur mengaku salah cubaan bunuh anak saudara

Penganggur mengaku salah cubaan bunuh anak saudara

MOHAMMAD Azmin Hamanullah dihadapkan di Mahkamah Sesyen, George Town, Pulau Pinang semalam. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang pe­nganggur mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas dua tuduhan cubaan membunuh dua anak saudaranya yang berusia 44 hari dan tiga tahun 2 Ogos lalu.

Tertuduh, Mohammad Az­min Hamanullah, 28, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mohammad Azmin dituduh dengan niat melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang bayi perempuan berusia 44 hari.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 2 Ogos, kira-kira pukul 3 petang di Flat Nusantara, Jalan Makloom, di sini.

Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Azmin dituduh de­ngan niat melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda, namun jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, maka boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong dan Nurnajihatul Idayu Mohd. Azuyar.

Dalam pada itu, Jun Keong memohon tertuduh dihantar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental dengan mengguna pakai Seksyen 342 (5) Kanun Prosedur Jenayah.

Hakim kemudian mengarahkan tertuduh menjalani penilaian kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak dan tertuduh tidak dibenarkan dijamin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN