SIK: Seorang pelajar lelaki maut apabila motosikal ditunggangi terlanggar seekor lembu melintas di Jalan Kampung Kota Bukit, Mukim Jeneri, kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Abdul Hameen Abdul Rahman, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeneri meninggal dunia tiga jam selepas dirawat wad kecemasan di Hospital Daerah Sik.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, semasa kejadian mangsa dari Kampung Banggol, Jeneri menunggang motosikal Honda C100 dari arah Kampung Langgok menghala ke Kampung Kota Bukit.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pelajar terbabit dipercayai terlanggar seekor lembu yang secara tiba-tiba melintas jalan menyebabkan mangsa terjatuh dari motosikalnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 6.23 petang, sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa sempat diberi bantuan kecemasan awal oleh anggota BSYJM yang tiba tujuh minit setelah menerima panggilan.
“Berdasarkan rekod, kemalangan melibatkan haiwan peliharaan membimbangkan di Jeneri, penternak seharusnya bertanggungjawab menjaga ternakan mereka dan tidak membiarkan berkeliaran di jalan raya demi keselamatan pengguna,” katanya.- UTUSAN