KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin dan jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi, dijangka memohon menarik diri dalam kes saman fitnah yang difailkan penyanyi Siti Nordiana Alias.
Perkara itu dimaklumkan peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana ketika dihubungi wakil media di sini semalam.
Menurut peguam itu, perkembangan baharu tersebut akan didengar pada pengurusan kes berkenaan menerusi aplikasi Zoom di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Dr. John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee, hari ini.
Sebelum ini, penyanyi yang dikenali sebagai Nana itu selaku plaintif menamakan Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36; isterinya Nur Sheila Hassim, 36; Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali Syura, Sam Musyadzafar, 43, serta Razidah, 42, sebagai defendan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah menetapkan perbicaraan kes saman itu selama 12 hari bermula Oktober di Mahkamah Tinggi di sini.
Siti Nordiana, 39, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021.
Pada Januari 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan dua daripada lima individu yang disaman penyanyi Siti Nordiana untuk memindahkan prosiding perbicaraan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Kedua-dua pemohon, Sam Musyadzafar dan Razidah memfailkan permohonan itu pada 16 Disember 2021 di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Siti Nordiana sebagai responden.
Menurut Abang Azlan, Siti Nordiana bersetuju untuk kes saman itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.
Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.
Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke Youtube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai. – UTUSAN










