Pecah amanah: Lima tahun rugi RM11.4 bilion - Utusan Malaysia

Pecah amanah: Lima tahun rugi RM11.4 bilion

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kakitangan sya­rikat swasta paling ramai terli­bat kes pecah amanah dalam tempoh lima tahun sejak 2018 sehingga Julai lalu membabitkan kerugian bernilai RM11.4 bilion.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 8,186 kes direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial (JSJK) dengan 8,061 kes membabitkan kakitangan swasta manakala 77 kes lagi melibatkan institusi kerajaan.

Kelmarin, JSJK membongkar satu sindiket menyeleweng minyak diesel milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas)) di Pantai Timur membabitkan kerugian RM13.5 juta.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia Pengarah JSJK, Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesa­lahan pecah amanah melibatkan syarikat swasta 99.1 peratus berbanding institusi kerajaan.

Menurut beliau, antara faktornya kerana jumlah syarikat swasta di negara ini lebih ba­nyak berbanding institusi kerajaan.

“Ketiadaan prosedur kerja atau tatakelola cekap di syarikat-syarikat swasta terutama­nya syarikat baharu membuka ruang kepada jenayah pecah amanah,” kata beliau semalam.

Ramli berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 5,429 tangkapan dan daripada jumlah itu, sebanyak 2,941 individu telah dituduh di mahkamah.

Kata beliau, kes paling tinggi direkodkan berlaku pada 2018 iaitu dengan 2,258 kes dengan membabitkan kerugian RM4.11 billion diikuti 2019 (2,018 kes, kerugian RM 4.86 billion).

“Pada 2020, sebanyak 1,290 kes direkodkan dengan kerugian RM978 juta diikuti 2021 (942 kes, kerugian RM824 juta); 2022 (990 kes, kerugian 454 juta) dan Januari sehingga Julai lalu sebanyak 688 kes dengan kerugian RM215 juta.

“Tangkapan paling tinggi dilakukan adalah pada 2019 iaitu dengan 1,286 tangkapan dilakukan diikuti 2018 (1,199 tangkapan); 2020 (1,064 tangkapan); 2021 (758 tangkapan); 2022 (680 tangkapan) dan Januari sehingga Julai lalu (442 tangkapan),” ujarnya.

Ditanya siasatan membabitkan Petronas, Ramli berkata, kes berkenaan masih dijalankan selain siasatan dalaman pihak Petronas yang mengesyaki berlaku penyelewengan sejak 2021.

Terdahulu, Ramli dalam satu kenyataan mengesahkan satu operasi bersepadu dijalankan, kelmarin di sekitar ibu kota, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu bagi mengesan suspek terlibat dalam penyelewengan minyak diesel Petronas.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN