Pas dikuasai pemimpin berjiwa takfiri selepas Nik Aziz meninggal

Pas dikuasai pemimpin berjiwa takfiri selepas Nik Aziz meninggal – Wanita Amanah

Kepemimpinan wanita
AIMAN ATHIRAH SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas didakwa dikuasai oleh pemimpin berjiwa dan berfikiran takfiri (merujuk kepada sikap seseseorang yang mudah menuduh orang lain keluar dari Islam) selepas bekas Mursyidul Am parti itu, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia. 

Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Aiman Athirah Sabu mendakwa, pergeseran Pas di dalam PR pada asalnya bukan di antara Pas dan DAP, sebaliknya adalah di antara Pas dan PKR atau lebih tepat adalah Pas dan Anwar. 

Beliau mendakwa, isu sebenar adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak boleh menerima pandangan dan kepemimpinan orang lain dengan keputusan majoriti Ahli Jawatankuasa Pas Pusat turut dilanggar.

Dakwanya, perbezaan pendapat di dalam Pas juga gagal diuruskan secara berjemaah, malah, lebih jauh daripada ukhuwah Islamiah. 

“Bermula segala usaha ‘pembunuhan karakter’ dan label melabel. Haji Hadi sendiri mencabar yang tidak setuju dengannya agar keluar tinggalkan Pas. Pada masa sama, pengikut-pengikutnya terus menjalankan pelbagai provokasi dan buli dengan fitnah dan adu domba dijadikan sesuatu yang halal.

“Sementelah Haji Hadi memilih untuk hanya berdiam diri dan gagal menegur tindakan-tindakan ghuluw (berlebih-lebihan) yang dilakukan oleh para pengikutnya ke atas majoriti kepimpinan dan aktivis Pas yang kemudiannya disingkirkan dengan cara yang cukup licik dan jahat di dalam siri kempen pemilihan parti yang berat sebelah, sarat dengan fitnah dan adu domba.

“Dalam segala kerosakan dan kebejatan yang ada di dalam Pas bawah kepimpinan Haji Hadi, kegagalan menzahirkan perjuangan Islam yang penuh rahmah, kegagalan memastikan uswah dan qudwah akhlak yang mulia, maka, tiada jalan lain selain hijrah,” dakwanya dalam satu hantaran di Facebook. 

Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam Ceramah Perdana PN Johor malam semalam mendakwa, tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu menyertai Amanah adalah kerana takut kalah dalam pilihan raya. 

Beliau turut menyifatkan mereka sebagai lemah semangat sehingga sanggup meninggalkan dasar perjuangan Pas. 

Terdahulu, Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendakwa, fahaman Amanat Abdul Hadi makin terserlah apabila wujud perbezaan pendapat dalam kalangan kepemimpinan Pas khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013 yang menyaksikan Pakatan Rakyat (PR) masih belum berjaya memerintah Malaysia. 

Menurut Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) itu, Abdul Hadi memilih untuk membiarkan PR terbubar disebabkan dua faktor utama antaranya takut kalah dalam PRU14 kerana sudah hilang keyakinan dapat menjadi Kerajaan Persekutuan menerusi pilihan raya bersama PR. 

Kedua, dakwanya, Abdul Hadi tahu bahawa jika terus kekal bersama PR yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka, peluang Pas untuk menjadi Perdana Menteri adalah sangat sukar kerana perlu terlebih dahulu perlu menafikan Anwar. 

“Keputusan PRU14 membuktikan sebaliknya, bekas-bekas pemimpin Pas termasuk bekas Timbalan Presiden Pas sendiri iaitu Mohamad Sabu bersama Allahyarham Salahuddin Ayub, Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad dilantik sebagai menteri di samping lima pemimpin Amanah juga dilantik sebagai timbalan menteri. 

“Ini dengan sendirinya menepis dakyah Haji Hadi yang menuduh kami menubuhkan dan menggerakkan Amanah kerana takut kalah. Bahkan keputusan PRU14 itu adalah bukti bahawa  pandangan kami semasa masih bersama di dalam Pas adalah benar. 

“Perlu diingat, majoriti kepemimpinan Pas yang menggerakkan Amanah merupakan aktivis dan arkitek pembangunan Pas itu sendiri. Kemenangan Amanah dan PH mengakibatkan kemarahan bukan kepalang.

“Itulah yang menjadi pendorong khususnya bagi Haji Hadi sendiri mengatur rencana bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang Amanah bekas Pas sebahagian daripadanya,” dakwanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN