TAIPING: ‘Jika ada masalah, minta bantuan daripada NGO rumah transit di tepi jalan’.
Itu mungkin antara kata-kata warga Taiping dan sekitar kepada mereka yang memerlukan bantuan keperluan asas, lampin bayi atau apa-apa sahaja barangan semasa keadaan terdesak.
NGO atau pertubuhan bukan kerajaan tersebut ialah Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen Taiping (KMM) yang berpusat di Jalan Simpang di sini.
KMM ditubuhkan pada hujung 2019 terus membina jaringan hubungan dengan pelbagai pihak terutama agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dimulakan oleh Faizzul Amri Shahabuddin, itu NGO mula menjadi rujukan ramai apabila aktif menyalurkan bantuan sewaktu Covid-19 melanda negara pada pertengahan tahun 2020.
Kata Faizzul Amri selaku Presiden KMM, bantuan yang disalurkan adalah merentasi kaum, agama dan latar belakang sosial.
“Ada juga mereka yang sebelum ini dibantu kembali untuk menyokong dan memberi sumbangan kepada kami untuk membantu orang lain pula,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau ditemui pada menyampaikan sumbangan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada KMM yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Salbiah Mohamed.
Sumbangan sebanyak RM20,000 merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) SSM.
Faizzul berkata, pada hari-hari biasa, beliau dengan ahli KMM lain menerima banyak panggilan daripada penduduk sekitar bagi memohon bantuan atau kadangkala pergi mengunjungi mereka yang memerlukan bantuan.
“NGO memberi bantuan semampu mungkin. Kami mengambil butiran maklumat dan masalah mereka. Kemudian memanjangkan isu kepada JKM atau agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.
NGO itu dikatakan mempunyai data yang luas tentang penduduk di Taiping dan sekitar terutama golongan berpendapatan rendah.
Pencapaian itu membuatkan KMM kini terlibat dalam program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan fokus menaik taraf hidup golongan yang memerlukan.
Kata Faizzul Amri, sejak terlibat dalam usaha tersebut, banyak program diadakan termasuk menganjurkan kursus perniagaan yang diadakan di pejabat KMM membabitkan golongan berpendapatan rendah serta ibu tunggal.
“Kursus merangkumi ilmu memulakan perniagaan dan pendedahan kepada amalan perniagaan moden termasuk penggunaan media sosial. Dikendalikan oleh tenaga pengajar profesional,” katanya.
KMM juga dikenali dengan imej rumah transit dengan menyediakan kemudahan tempat tinggal kepada golongan yang memerlukan sementara mencari pekerjaan.-UTUSAN










