MB Kelantan yang baharu angkat sumpah Selasa ini

MB Kelantan yang baharu angkat sumpah Selasa ini

AHMAD Yakob semasa sidang media kemenangan Pas Kelantan di Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas Kelantan mengesahkan Menteri Besar yang baharu dijangka mengangkat sumpah Selasa ini selepas parti itu meraih kemenangan dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Pesuruhjayanya Datuk Ahmad Yakob berkata, Pas akan mengadakan perbincangan untuk memilih siapa bakal menggalas tanggungjawab itu malam ini atau pagi esok.

“Bila dapat semua (senarai penuh) kita akan bincang dan insya-Allah pada 15 Ogos ini akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada perkenan Sultan Kelantan (Sultan Muhammad V),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Kemenangan Pas Kelantan di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Kelantan bakal mendapat Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu sekiranya Pas dan Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau menjelaskan, pihaknya memutuskan perubahan kedudukan dua jawatan itu dengan mengemukakan gabungan kepemimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula mendakwa pertukaran jawatan Menteri Besar Kelantan dan timbalannya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini dilakukan kerana kedua-dua pemimpin itu telah lama mentadbir negeri tersebut.

Beliau berkata, keputusan itu juga dilakukan untuk memberi peluang kepada pemimpin baharu dan mewujudkan suasana serta semangat baharu di negeri itu.

Pada PRN kali ini Pas menang bergaya apabila meraih 43 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN