KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menerima kutipan zakat sebanyak RM141.9 juta daripada pembayar zakat sepanjang tahun ini.
Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sumbangan itu termasuk daripada syarikat korporat dan individu yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.
“Insya-Allah sasaran untuk memungut zakat sebanyak RM240 juta pada tahun ini dapat dicapai.
“Syarikat dan individu di Kelantan dilihat memberi komitmen untuk mengeluarkan zakat. Kebiasaannya, kutipan zakat akan meningkat menjelang hujung tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Zakat Korporat Kepada Maik di sebuah hotel di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Maik menerima sebanyak RM11.9 juta zakat perniagaan melibatkan RM7.72 juta daripada Lembaga Tabung Haji, Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM2.2 juta dan Maybank Islamic Bank Berhad sebanyak RM1 juta.
Selain itu, Agrobank membayar zakat kepada Maik sebanyak RM500,000, Syarikat Takaful Malaysia Am dan Keluarga (RM200,000) dan Koperasi Guru Melayu Kelantan (RM292,700).
Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan memberitahu, setakat ini, Maik sudah mengagihkan sejumlah RM132.4 juta zakat kepada mereka yang layak dan memerlukannya.
Katanya, sehubungan itu, pihaknya turut berharap lebih banyak syarikat korporat melaksanakan potongan gaji kepada pekerja untuk pembayaran zakat.
“Kaedah itu diperkenalkan beberapa tahun lalu dan Maik juga sudah menjalankan sesi pertemuan dengan pemilik syarikat terbabit.
“Usaha itu bagi menggalakkan lebih ramai pekerja melunaskan tanggungjawab membayar zakat dengan mudah sekali gus dapat membantu lebih ramai golongan memerlukan,” ujarnya-UTUSAN