Lebih satu tan ikan patin, tilapia terpaksa dijual murah

Lebih satu tan ikan patin, tilapia terpaksa dijual murah

SANGKAR ikan milik Mohd. Fadzli Abdul Malik seolah-olah berada di atas daratan berikutan paras air Sungai Pahang yang semakin cetek akibat fenomena El-Nino di Kampung Tanjung Berangan di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang pengusaha ikan sangkar di Kampung Tanjung Berangan, Chenor di sini terpaksa menjual lebih satu tan ikan patin dan tilapia diternaknya dengan harga RM16 sekilogram kerana masalah sungai cetek kesan fenomena El-Nino yang melanda negara.

Harga itu adalah terlalu rendah berbanding harga pasaran ikan tersebut yang dianggarkan antara RM23 hingga RM25 sekilogram.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusaha terbabit, Mohd. Fadzli Abdul Malik,43, berkata, lapan sangkar ikan miliknya seolah-olah berada di atas daratan kerana paras air sekitar 0.3048 meter akibat dipenuhi pasir sungai.

“Video tular dalam media sosial yang memaparkan keadaan di kawasan sangkar hasil hantaran Chik Asan seorang penyanyi lagu-lagu loghat Pahang berjaya menarik perhatian orang ramai yang berpusu-pusu dari Temerloh, Maran, Bera dan Kuantan untuk ke Chenor bagi memborong ikan dalam tempoh tiga jam sahaja.

“Saya terpaksa menjual segera ikan patin dan tilapia dengan harga borong RM16 sekilogram bagi mengelakkan kerugian. Purata berat ikan sekitar setengah kilogram yang sepatutnya matang dua bulan lagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohd. Fadzli berkata, masalah kemarau melanda negeri ini sejak beberapa bulan lalu memberi kesan kepada banyak pengusaha ikan sangkar kerana paras Sungai Pahang semakin surut saban hari.

Dia yang lebih dikenali sebagai Mamat menambah, akibatnya, banyak ternakan mati kerana peningkatan suhu air berikutan paras air cetek.

Tambahnya, lapan sangkar miliknya sudah diangkat ke daratan dan hanya menunggu air Sungai Pahang kembali ke paras biasa dalam tempoh tiga bulan lagi.

“Saya bersyukur dengan sokongan orang ramai yang membeli secara runcit dan borong dapat mengatasi kerugian yang lebih besar,” katanya yang berpengalaman menternak ikan sangkar selama enam tahun.

Beliau berkata, keadaan itu jarang-jarang berlaku kecuali pada 2016 apabila banyak artifak timbul seperti kapal British di Kampung Tanjung Paloh Hinai, Pekan ekoran air Sungai Pahang surut mendadak.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Fadzli menggesa kerajaan supaya memastikan makanan ikan ternakan dikawal berbanding harga yang terlalu tinggi pada ketika ini.

“Kesan kenaikan harga makanan ikan, para penternak tiada pilihan terpaksa menaikkan harga ikan patin lebih RM22 sekilogram,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN