Kritikan cetus semangat baharu - Baddrol Bakhtiar

Kritikan cetus semangat baharu – Baddrol Bakhtiar

BADDROL Bakhtiar bersama peminat-peminatnya dalam Program Santai bersama penduduk Kuala Kedah, semalam. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: Bekas kapten skuad bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar akan membuktikan penglibatannya dalam bidang politik tidak sia-sia.

Calon Perikatan Nasional (PN) di Gurun itu berkata, keputusannya meninggalkan arena bola sepak terinspirasi daripada kredibiliti Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang disifatkannya ahli politik sejati untuk menjaga kebajikan rakyat negeri ini.

“Kritikan yang itu saya anggap sebagai semangat baharu untuk saya berjuang demi rakyat negeri Kedah, demi anak-anak muda Kedah saya akan buktikan.

“Insya-Allah saya anggap ia sebagai satu cabaran dalam dunia politik,” katanya ketika ditemui selepas Program Santai bersama penduduk Kuala Kedah di sini, semalam.

Beliau mengulas tentang pandangan pemerhati dan penyokong sukan itu yang menganggap Baddrol mensia-siakan bakatnya apabila terjun ke dunia politik.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, Baddrol berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari di kerusi Gurun yang sebelum ini dimenangi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum beliau mengosongkan kerusi itu tahun lalu.

Sementara itu, Baddrol yang pernah mewakili skuad kebangsaan juga yakin bahawa pengalamannya dalam arena bola sepak akan membantunya ketika berkempen dalam PRN Kedah ini.

“Sebelum ini, bermain bola sepak agak mencabar. Begitulah saya melihat politik, saya akan memimpin sama seperti saya memimpin rakan sepasukan ketika di atas padang,” jelasnya.

Baddrol berkata, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN banyak membimbingnya untuk membuat persediaan pada PRN berkenaan.

“Saya belajar lebih banyak tentang politik sejak berpindah ke Sabah dan Muhammad Sanusi menjadi tokoh yang memberi inspirasi kepada saya. Beliau banyak mengajar saya tentang politik.

“Dia beritahu saya, politik bukan seperti bola sepak. Dalam bola sepak, selama 90 minit anda akan penat, tetapi dalam politik ia 24 jam setiap hari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×