KUALA LANGAT: Kerajaan bersedia memasukkan kelapa sebagai komoditi di bawah Lembaga Koko Malaysia (LKM) sekali gus akan membantu pekebun tanaman tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara berkenaan antara yang dicadangkan para penanam koko di Selangor yang turut mengusahakan kelapa.
Insya-Allah, saya akan bawa isu ini susulan ketika sesi soal jawab tadi, mereka minta agar kelapa dimasukkan sebagai komoditi dan dijaga terus LKM,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi hadir pada acara santai mesra bersama-sama pengusaha koko di kebun Lee’s Cocoa diusahakan Lee Soon Cheong.
Ia merupakan lokasi terakhir sempena dengan program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung Malaysia 2023 dianjurkan oleh pihak kementerian berkenaan, di sini hari ini.
Semasa sesi soal jawab, seorang pengusaha koko yang menanam kelapa berkata, ramai kalangan mereka mengalami kesukaran kerana kelapa di bawah seliaan Jabatan Pertanian.
Menjawab permintaan pekebun tersebut, Fadillah berkata, kelapa setakat ini belum sesuai dimasukkan di bawah komoditi negara kerana produk itu tidak dieksport tetapi diimport.
Ketika ini, Malaysia menghasilkan pengeluaran kelapa mencecah 536 juta biji setahun di kawasan berkeluasan 84,942 hektar meliputi varieti pandan, matag, yellow dan red dwarf.
Mengulas lanjut, Fadillah dalam nada jenaka berkata, sekiranya kelapa diurus oleh pihak, LKM, akronim agensi yang dibentuk sejak 1988 itu akan perlu dipinda kepada LKKM pula.
Pada masa ini, Malaysia masih terpaksa mengimport kelapa sebanyak 34 peratus lagi dari negara jiran teruatama Indonesia dan Filipina kerana bekalan stok tempatan tidak cukup.
Berdasarkan kajian Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia pada 2020 lalu, kadar sara diri penanam kelapa di negara ini hanya kurang 70 peratus namun boleh ditambah baik.
Kebergantungan kepada kelapa import lebih disebabkan kekurangan tanah pertanian untuk ditanam komoditi berkenaan yang tidak seiring dengan permintaan tinggi dalam negara.
Dalam perkembangan berkaitan, kata Fadillah, kerajaan mahu para pengusaha kebun kecil koko mengubah cara pendapatan mereka dengan beralih kepada produk hiliran yang lebih bersifat premium.
Katanya, ia antara usaha yang boleh dilaksanakan mereka dan sekali gus mampu memberikan nilai tambah lagi kepada koko.
“Lembaga Koko Malaysia (LKM) malah sedia bantu penanam kerana agensi ini memang sering buat kajian bagi menghasilkan benih bermutu tinggi,” katanya.-UTUSAN