Kebolehpasaran graduan UA 92.8%, swasta 85.5% - Utusan Malaysia

Kebolehpasaran graduan UA 92.8%, swasta 85.5%

Kebolehpasaran graduan universiti awam lebih 90 peratus mendapat kerja. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Status pencapaian kebolehpasaran bagi graduan dari semua universiti awam (UA) pada tahun lalu mencecah 92.8 peratus manakala graduan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) 85.5 peratus.

Peratusan tersebut menunjukkan program dan kursus ditawarkan semua pusat pengajian tinggi negara ini selaras dengan keperluan industri sehingga kebolehpasaran graduan yang dilahirkan optimum.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman berkata, peratusan kebolehpasaran tersebut turut membuktikan institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini menawarkan program akademik yang relevan, berdaya saing dan mampu melahirkan graduan berkualiti serta memenuhi pasaran.

Menurut beliau, pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021 hingga 2025 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan untuk mencapai kadar kebolehpasaran graduan pada tahap 80 sehingga 85 peratus menjelang tahun 2025.

“Bagaimanapun, berdasarkan rekod tahun lalu, pelajar di semua UA dan IPTS mecatat kebolehpasaran sehingga 92.8 peratus dan 85 peratus iaitu lebih daripada yang ditetapkan,” kata beliau.

PRESTAS

Oleh itu, kata beliau, semua IPT negara ini mempunyai kebolehpasaran yang baik kerana setiap pusat pengajian tinggi menunjukkan prestasi memberansangkan dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan.

“Program pengajian peringkat universiti negara ini terbukti berkesan apabila kadar kebolehpasaran graduan adalah tinggi.

“KPT sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memastikan IPT menawarkan kursus yang terkini serta selaras dengan keperluan pihak industri agar tahap kebolehpasaran adalah optimum,” kata beliau.

Dr. Norzaini berkata, antara langkah membolehkan kebolehpasaran tinggi graduan adalah melaksanakan transformasi pendidikan tinggi awam melalui semakan semula kurikulum program akademik, melaksanakan saringan awal yang ketat terhadap setiap program akademik yang hendak ditawarkan oleh IPT.

Selain itu, kata beliau, pihak IPT mempekenalkan Kurikulum Tersedia Masa Hadapan (FRC) dan memperkukuhkan inisiatif sedia ada program pembelajaran berasaskan pekerjaan serta pembelajaran berasaskan pengalaman di mana pendekatan ini menggabungkan pembelajaran akademik di dalam kampus dan pengalaman dalam industri.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, KPT berdepan cabaran besar untuk memastikan kira-kira 300,000 graduan di semua IPT yang tamat belajar setiap tahun agar dapat memenuhi kehendak industri.

KEMASUKAN

Mengikut statistik dikeluarkan KPT pada 6 Julai lalu, bilangan kemasukan dan keluaran pelajar tahun 2022 berjumlah 1,202,202 yang direkodkan di semua peringkat pengajian dan kategori di IPT seluruh negara

Bagaimanapun, berdasarkan kajian pengesanan graduan 2022 pula, hampir 30,000 graduan atau 29,099 golongan itu belum bekerja daripada jumlah keseluruhan 295,962 graduan pada tahun berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr. Norzaini berkata, kesemua 20 UA dalam negara mempunyai bidang tujahan masing-masing dan penawaran program akademik baharu adalah berdasarkan bidang tujahan tersebut agar UA tidak bersaing antara mereka dan juga bagi mengoptimumkan penggunaan sumber kerajaan.

Oleh itu, kata beliau, tidak ada keperluan untuk menggabungkan UA kerana bilangan kebolehpasaran graduan di semua pusat pegajian adalah tinggi berbanding hanya kira-kira 30,000 yang belum bekerja.

“Pihak Jabatan Pendidikan Tinggi mempunyai mekanisme pemantauan terhadap program akademik di UA supaya tidak bertindih. Hal ini dilakukan melalui Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT) yang menilai dan memperakukan semua program akademik baharu serta semakan kurikulum program akademik sedia ada.

“Keahlian JKPT terdiri dari wakil Jabatan Perkhidmatan Awam, TalentCorp, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Eknonomi Digital Malaysia (MDEC) serta wakil-wakil agensi Kerajaan yang lain dan badan profesional.

“Tapisan ini adalah amat penting untuk memastikan program-program yang ditawarkan oleh UA kekal relevan dan mampu melahirkan graduan yang holistik serta memenuhi keperluan industri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN