JOHOR BAHRU: Semua pihak dalam organisasi politik termasuk UMNO perlu menghormati sistem demokrasi parti sekiranya berhasrat untuk menukar kepimpinannya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak ada gunanya mendesak kepimpinan parti bertukar, sebaliknya lebih baik untuk parti mara ke hadapan dan membina dengan penuh kekuatan dari semua aspek.
“Semalam pun ada Solidariti Wanita UMNO pertahan Institusi Presiden, yang paling penting mesejnya ialah institusi kepimpinan UMNO ataupun institusi kepresidenan harus dikekalkan. Tapi kalau ada yang berhajat sama ada orang dalam yang dipengaruhi oleh orang luar untuk menukar kepimpinan, maka tunggulah UMNO melakukan pemilihan semula, tiga tahun akan datang.
“Kalau kumpulan itu percaya dengan sistem demokrasi dalam organisasi politik mereka, itu adalah kaedah yang lebih baik,” katanya selepas merasmikan program Belia Desa Madani@KKDW di B5 Street Market, Tampoi, di sini hari ini.
Sebelum ini, terdapat beberapa bekas pemimpin utama UMNO yang mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO selepas parti itu gagal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri apabila hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi ditandinginya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perkara paling mustahak ketika ini ialah untuk membina semula parti dengan kekuatan penuh.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sekarang bukan masa yang tepat untuk mencari kesalahan individu lain, sebaliknya perlu sederap memperkuatkan sokongan parti.
“Bila menang di PRN Melaka lebih tiga perempat, tak ada siapa pun yang suruh Presiden letak jawatan dan apabila menang di PRN Johor, menang lebih dua pertiga juga tidak ada desakan begitu. Malah, tidak ada pun yang memuji Presiden pada ketika itu bila kita menang 7-0 dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Presiden tidak dipuji dan tidak diminta letak jawatan. Dalam politik ini pasti ada turun naiknya dan ketika naik tidak ada pujian tetapi ketika turun banyak pula kejian.
“Maka, kita harus tukar minda kita tentang perkara itu supaya kita sama-sama memperkukuhkan kesatuan dan solidariti dalam parti kita supaya gabungan kita dihormati oleh gabungan parti lain sebagaimana yang diperlihatkan untuk rakan kita di Sarawak,” tambahnya.
Mengenai PRK di Parlimen Pulai dan Simpang Jeram, Timbalan Perdana Menteri berkata, peluang untuk menang adalah tinggi berdasarkan tahap kerjasama antara PH dan BN di negeri ini sangat kukuh dan kuat.
“Pada pandangan saya, landskap politik di Johor sangat berbeza di mana tahap kebersamaan itu lebih kukuh dan lebih kuat dan saya yakin dalam menghadapi dua PRK ini. Walaupun permukaan politiknya sangat licin tetapi tidak mustahil untuk kita mencapai ke kemuncak dan ini merupakan kawasan yang kita sandang sebelum ini, saya memberikan komitmen untuk jentera BN terus bekerjasama dengan jentera PH bagi menyokong calon kerajaan perpaduan negeri Johor,” katanya. – UTUSAN