JDT hampiri kejuaraan, belasah Perak 5-0 - Utusan Malaysia

JDT hampiri kejuaraan, belasah Perak 5-0

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva meraikan gol jaringannya pada perlawanan Liga Super menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir merangkul trofi Liga Super untuk kali ke-10 berturut-turut apabila menjinakkan The Bos Gaurus 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini sebentar tadi.

Pasukan kendalian Esteban Solari yang sudah mengumpul 60 daripada 20 perlawanan liga, dibezakan 17 mata dengan pasukan di tempat kedua, Selangor FC hanya memerlukan satu lagi kemenangan bagi mengesahkan kejuaraan liga terus berada dalam dakapan Harimau Selatan.

Pada perlawanan itu, JDT seperti kebiasaan beraksi di SSI mendominasi permainan sebaik minit pertama memerlukan sedikit masa sebelum meruntuhkan benteng pertahanan Perak  FC.

Anak buah Yusri Che Lah dilihat bertahan dengan baik apabila beraksi kompak di bahagian pertahanan setelah menutup ruang buat pasukan tuan rumah daripada mencipta percubaan tepat pada 20 minit pertama.

Keadaan itu tidak bertahan lama apabila JDT memecahkan kebuntuan menerusi rembatan deras Heberty Fernandes dari jarak 25 meter pada minit ke-21 menerjah penjuru kanan atas gawang Perak menewaskan T. Shaheeswaran.

Fernandes mempamerkan taringnya sebagai penggempur berbisa apabila meledak tiga gol dalam tiga perlawanan Liga Super berturut-turut sejak menyertai JDT pada pertengahan bulan lalu.

Lima minit berselang, giliran Arif Aiman Hanapi membuat percubaan tepat ke arah pintu gol, namun kali ini Shaheeswaran lebih bersedia menguis bola tersebut dan memberikan sepakan penjuru kepada JDT.

PENYERANG JDT, Arif Aiman Hanapi dan Matthew Davies berjaya mengawal bola pada perlawanan Liga Super menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri.

Berpunca daripada sepakan penjuru itu, Matthew Davies yang menerima hantaran dari sayap kiri gawang membuat tandukan lambung ke dalam kotak penalti yang akhirnya menghasilkan jaringan setelah Shaheeswaran terpedaya dengan lonjakan Fernandes yang gagal menanduk bola itu pada minit ke-27.

Pada minit ke-33, Juan Muniz gagal memanfaatkan sepakan percuma dari kedudukan yang hampir dengan pintu gol Perak apabila rembatan dilepaskan sedikit tersasar.

Shaheeswaran melakukan ‘blunders’ apabila hantaran ke belakang diterimanya disepak tepat ke kaki Bergson Da Silva yang dilihat cukup tenang meletakkan bola itu ke gawang The Bos Gaurus dengan melakukan sepakan lambung melewati penjaga gol pada minit ke-35.

Bersambung babak kedua, JDT  tidak mengendurkan serangan walaupun pada kedudukan selesa dengan melancarkan serangan demi serangan bagi memburu jaringan yang lebih besar.

Pada minit ke-55, Jordi Amat melakukan hantaran jauh mencari Oscar Arribas di bahagian sayap kiri yang mudah melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan rendah melepasi hadangan yang dibuat Shaheeswaran.

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva meraikan gol jaringannya bersama Heberty Fernandes pada perlawanan Liga Super menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri.

Berselang 10 minit kemudian, skuad kendalian Solari itu terus menambah derita bagi pasukan pelawat apabila meledak gol kelima perlawanan menerusi gol jaringan Muniz hasil sepakan bebas yang melayang menerjah penjuru kanan gol pada minit ke-65.

Pasukan pelawat dilihat terus buntu untuk setidak-tidaknya mendapat gol saguhati bagi mengubati kekecewaan pada perlawanan tersebut.

Syafiq Ahmad dan Ramadhan Saifullah yang dibawa masuk pada pertengahan babak kedua tidak berupaya untuk melebarkan jaringan gol dan tiada pertambahan gol direkodkan.

JDT boleh dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini sekiranya berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada 26 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN