JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sedang menjalankan pemantauan kualiti udara bagi mengenal pasti sama ada berlaku pencemaran udara akibat kebakaran sebuah tapak pelupusan sampah di Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
Pengarah JAS Johor, Dr. Famey Yusoff berkata, pemantauan kualiti udara itu dilakukan pihaknya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
“Buat masa ini, bomba masih lagi mengawal keadaan bagi memastikan kebakaran tapak pelupusan sampah itu dipadam sepenuhnya.
“Dalam masa sama, pihak JAS serta MBPG sedang melakukan pemantauan kualiti udara di kawasan sekitar, khususnya melibatkan kawasan kediaman,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd. Yusri Atan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada pukul 12.46 tengah malam, tadi.
Sehubungan itu katanya, sembilan anggota beserta dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati, kebakaran itu melibatkan kawasan pelupusan sampah berkeluasan 2.8 hektar daripada keseluruhan 5.2 hektar kawasan berkenaan.
“Setakat pukul 5.30 petang, usaha memadam kebakaran masih dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 700 kaki beserta dua pancutan sumber air daripada pili bomba,” ujarnya sambil memaklumkan kejadian itu tidak melibatkan mangsa.
Mohd. Yusri turut memberitahu, kerja memadamkan kebakaran turut melibatkan seramai 14 anggota MBPG.-UTUSAN