Ibu maut, pulang ambil anak dari asrama - Utusan Malaysia

Ibu maut, pulang ambil anak dari asrama

KEADAAN Proton Exora dan Perodua Alza yang remuk selepas bertembung berhampiran simpang Felda Air Tawar 1, Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang ibu maut, manakala dua anaknya selamat apabila Proton Exora dipandunya bertembung dengan sebuah Perodua Alza berhampiran simpang Felda Air Tawar 1, Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit petang semalam. 

Dalam kejadian pukul 3.40 petang itu, mangsa, Mariani Omar, 44, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Difahamkan mangsa yang berasal dari Felda Tenggaroh 2, Mersing dalam perjalanan selepas mengambil anaknya dari asrama di Bandar Penawar. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat kemalangan tersebut. 

“Mangsa disahkan meninggal dunia di HKT semasa menerima rawatan. Kemalangan dipercayai berlaku ketika wanita tersebut memandu kereta Proton Exora bersama dengan dua anak berumur antara 18 dan 15 tahun yang dalam perjalanan dari arah Bandar Penawar menghala ke Kota Tinggi.

“Kereta dipandu telah bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berumur dalam lingkungan 40-an.

“Kemalangan itu juga menyebabkan pemandu Alza mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di HKT. Dua anak si mati selamat dalam kejadian itu, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Punca kejadian masih dalam siasatan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN