LIPIS: Seorang ketua keluarga masyarakat Orang Asli di Kampung Simoi Baru, Pos Betau di sini kini terpaksa bergantung harap kepada isterinya untuk mencari rezeki selepas dia diserang strok dan terlantar sejak dua tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Salim Ani, 46, berkata, tugas menoreh getah yang sebelum ini dilakukannya kini diambil alih isterinya, Norli Yok Panor, 44, demi menyara kehidupan mereka sekeluarga.
“Hasil torehan getah seluas 0.8 hektar milik kami cuma memperoleh antara RM200 hingga RM300 sebulan, cukup untuk perbelanjaan dapur bagi anak kami seramai lima orang dan ada yang masih bersekolah.
“Mana mampu hasil pendapatan menoreh getah yang dilakukan isteri untuk berbelanja keperluan lain memandangkan hanya cukup untuk memastikan dapur kami ‘berasap’ setiap hari,” katanya di Kampung Simoi Baru di sini semalam.
Salim berkata, pendapatan itu cuma hasil torehan getah dalam tempoh 10 hari, manakala pada hari lain isterinya tidak dapat bekerja lantaran hujan, lagipun pokok getah milik sendiri sudah tua dan susunya semakin berkurangan ketika cuaca panas.
“Pendapatan hasil getah beku/sekerap yang murah ketika dijual kepada pembeli berlesen yang datang ke kampung ini cuma RM1.50 sekilogram, juga antara tekanan pendapatan bukan sahaja kami tetapi keseluruhan penoreh di sini.
“Akibat kekurangan pendapatan, isteri saya keluar mencari sumber hutan dan menanam pisang untuk dijual bagi menambah pendapatan, tetapi malangnya sejak akhir ini hasil tanaman pisang kerap diganggu gajah liar dan kami langsung tiada pendapatan,” katanya.
Bercerita tentang penyakitnya, Salim menjelaskan, strok yang dihidapinya sejak dua tahun lalu berpunca darah tinggi dan keadaan semakin teruk menyebabkan dia tidak dapat melakukan pergerakan dari paras pinggang ke kaki sehingga tidak dapat berjalan.
“Saya sudah beberapa kali mendapatkan rawatan serta ubat di Hospital Lipis dan Klinik Kesihatan Pos Betau tetapi keadaan penyakit ini tidak berubah sehinggalah terpaksa menggunakan kerusi roda ketika bergerak di dalam rumah.
“Saya berterima kasih kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar yang memberikan bantuan kerusi roda menerusi seorang jiran yang berusaha mendapatkan peralatan ini daripada pihak berkenaan,” katanya.
Menurutnya, isteri cuma menguruskan kebajikannya di rumah selepas menoreh getah termasuk menghantar ketika mendapatkan rawatan di hospital dan klinik berdekatan.
Katanya, hasil pendapatan menoreh getah yang diusahakan isterinya sememangnya tidak mampu membiayai perubatan darah tinggi dan strok ditambah pula belanja pengangkutan berulang alik dari Kampung Simoi Baru ke hospital dan klinik juga tinggi.
“Saya berharap ada NGO dan dermawan luar yang dapat membantu saya dan keluarga termasuk kos perubatan bagi membolehkan penyakit ini sembuh dan saya boleh bekerja semula,” katanya.
Orang ramai dan NGO yang ingin memberikan sumbangan boleh menghubungi Salim menerusi talian 013-6567404 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0810941000051094.-UTUSAN