Dua pemimpin Pas Langkawi tanding Bebas letak jawatan,

Dua pemimpin Pas Langkawi tanding Bebas letak jawatan, tinggalkan parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pemimpin Pas Langkawi yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan Ayer Hangat masing-masing meletakkan semua jawatan manakala seorang lagi mengisytiharkan keluar parti.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keahlian kedua-dua pemimpin tersebut sudah pun tergugur secara automatik selepas melanggar disiplin dan keputusan parti.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Setiausaha Pas Kawasan Langkawi yang diterima oleh Pejabat Setiausaha Agung Pas, seramai lapan ahli parti di kawasan tersebut didapati melanggar ketetapan tersebut dengan bertanding sebagai calon Bebas di kedua-dua DUN berkenaan selain bertindak sebagai wakil calon, pencadang serta penyokong.

“Menurut laporan itu juga, semua langkah diambil oleh pihak kepemimpinan tempatan bagi memujuk dan menghalang individu terbabit daripada meneruskan niat tersebut, tetapi gagal mencapai matlamat yang diharapkan.

“Seperti ditegaskan oleh Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 26 Julai lalu serta makluman Setiausaha Agung pada 27 dan 30 Julai lalu, mana-mana ahli yang mengingkari keputusan parti dengan bertanding sebagai calon Bebas atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh merugikan parti boleh diambil tindakan tegas, termasuk dipecat keahlian mereka,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, semalam, Pejabat Setiausaha Agung menerima surat daripada kedua-dua ahli yang menjadi calon Bebas tersebut dan salah seorangnya meletakkan semua jawatan yang disandangnya dalam parti.

“Ini diikuti dengan surat daripada tiga ahli lain yang bertindak sebagai pencadang, penyokong dan wakil calon bagi calon tersebut yang turut melakukan perkara yang sama.

“Seorang lagi ahli yang menjadi calon Bebas itu pula mengisytiharkan keluar parti,” katanya.

Pada hari penamaan calon tempoh hari,  Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie masing-masing bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan DUN Ayer Hangat.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, disebabkan ketetapan berhubung perkara itu sudah pun dihebahkan, maka, parti tidak mempunyai pilihan selain daripada menguatkuasakan peraturan sedia ada tanpa menjejaskan hak individu terbabit untuk merayu atau mengemukakan permohonan keahlian baharu pada masa depan.

“Mereka yang berkenaan (kecuali yang keluar parti) turut diberikan pilihan untuk membuat perisytiharan menarik diri daripada pertandingan serta meminta para penyokong mereka supaya menyokong calon-calon Perikatan Nasional (PN) di kedua-dua DUN terbabit.

“Jika tawaran ini diterima, maka ia boleh menjadi faktor mitigasi terhadap apa- apa pertuduhan tatatertib yang boleh dibuat terhadap mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya