Desakan Presiden berundur dibuat ahli pro PN - Nur Jazlan - Utusan Malaysia

Desakan Presiden berundur dibuat ahli pro PN – Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Desakan dalam parti supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini datang daripada kumpulan pro Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa, antara individu itu termasuk bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Tan Sri Idris Jusoh yang kecewa sebab jawatan Pengerusi Felda yang diberikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepadanya digantikan dengan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Selepas UMNO menunjukkan keputusan tidak baik dalam PRN enam negeri, terus ada pihak yang tuding jari salahkan Presiden dan desak beliau lepaskan jawatan dan bertanggungjawab atas prestasi buruk itu sedangkan masih banyak isu lain yang turut jadi penyumbang.

“Macam biasalah, geng pro PN dalam kalangan UMNO paling pantas bingkas untuk jadikan Ahmad Zahid sebagai kambing hitam sekali lagi selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sedangkan ramai lagi individu lain turut terlibat.

“Kenapa puak yang mendesak itu tidak menyalahkan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Puteri serta kepimpinan negeri dan bahagian. Sepatutnya semua pihak perlu ambil tanggungjawab kerana keseluruhan kepimpinan parti juga gagal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Nur Jazlan yang juga bekas Ahli Parlimen Pulai berkata, sebaliknya apa yang perlu dibuat UMNO ketika ini adalah melakukan ‘post mortem’ untuk kembali bangkit mendapatkan sokongan orang Melayu.

“Hakikatnya kita kena akui orang Melayu berpaling daripada parti ini bukan sebab pemimpin tapi jenama UMNO itu sudah disalah tafsir. Sebab itu kita semua perlu berusaha untuk menjenamakan semula UMNO dengan cara lebih praktikal, realistik dan inklusif untuk semua.

“Adalah lebih afdal untuk bangkitkan semua masalah itu dalam mesyuarat pimpinan parti sebab masing-masing dah ada jawatan yang membolehkan mereka meluahkan segalanya ikut saluran betul. Bukannya sembang kari kepada media sebab nak tunjukkan diri itu hebat sangat dan terpaling bijak,” katanya.

Nur Jazlan menjelaskan bahawa beliau terpaksa menulis perkara itu dalam media sosial kerana segelintir pihak telah memulakan kaedah sedemikian untuk meluahkan perasaan mereka.

“Menyerang pemimpin parti secara terbuka bukanlah satu cara terhormat. Ia seperti nak membuka pekung orang lain dan diri sendiri saja,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN