KLANG: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni kesal terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab mencuri bendera parti dan merosakkan poster kempen.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 250 bendera parti hilang akibat perbuatan yang disifatkan tidak bertamadun.
“Kaedah kempen dengan menghilangkan dan memusnahkan bahan kempen milik parti saingan mencerminkan kebimbangan pihak lawan. Kita berasa kesal kerana kita sekarang berada pada zaman moden yang mana kempen boleh dibuat dengan pelbagai cara yang lebih bertamadun.
“Kita ada saluran kempen seperti media sosial dan media perdana yang boleh digunakan. Mengapa memilih melarikan bendera parti dan mengoyakkan poster calon dan pemimpin PH,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Beliau menambah, laporan polis dibuat semalam oleh ejen parti yang diberi tanggungjawab memasang poster di Bandar Botanik dan Ambang Botanik.
Jelas Mohd. Zawawi, hasil pemantauan rapi mendapati kes bendera ‘dicuri’ melibatkan beberapa kawasan di DUN tersebut sejak kempen bermula Isnin lalu.
“Bukan semalam sahaja berlaku melibatkan bendera dan banting PH, namun kali ini saya menganggap ia sangat melampau kerana poster pemimpin negara turut ditoreh.
Perbuatan tersebut tidak menghormati semangat demokrasi dan tata susila kempen,” katanya. – UTUSAN











