KLANG: Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak supaya berhenti berpolitik sebaliknya bangkit mengeratkan perpaduan rakyat tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik.
Sultan Selangor bertitah, baginda mahu melihat Selangor bangkit dan maju dari semua aspek fizikal dan rohani di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.
“Cukup-cukup lah kita berpolitik, rakyat dah penat, Beta pun dah penat dengar. Bangunlah Ahli-ahli Yang Berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita.
“Jadikan negeri Selangor ini hebat semula seperti mana pada zaman kegemilangan negeri Selangor tidak berapa lama dahulu,” titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Angkat Sumpah, Ikrar Aku Janji dan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Exco kerajaan negeri di Istana Alam Shah, semalam.
Terdahulu baginda berkenan menerima menghadap Datuk Seri Amirudin Shari yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor dan 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam sesi berasingan pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Ikrar Aku Janji dan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan.
Baginda turut mengingatkan supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjauhi perbuatan rasuah serta salah guna kuasa.
INTERGRITI
“Walaupun perkara ini telah sering beta ingatkan pada setiap kali ucapan beta di mana-mana jua, namun beta merasakan perkara ini perlu diulangi bagi mengingatkan Ahli – Ahli Yang Berhormat tentang kepentingan menjaga integriti,” nasihat baginda.
Sultan Selangor bertitah, baginda mahu melihat perpaduan rakyat kembali bersatu selain pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemakmuran yang berpanjangan.
“Usia beta telah menjangkau 78 tahun pada tahun ini, dan adalah menjadi harapan dan impian beta, agar sebelum beta menutup mata dan dijemput Ilahi, beta dapat melihat Selangor bangkit semula, rakyat berbilang bangsa, hidup dalam keadaan selesa serta kemakmuran berpanjangan,” titah Sultan Selangor.
Sementara itu, Amirudin yang dilantik semula Menteri Besar berkata, beliau akan terus mengutamakan kritikan dan pertanyaan rakyat berbanding memberi perhatian kepada blok pembangkang yang semakin bertambah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Setiap masa tugas Exco dan Menteri Besar adalah berat, tak kisah mempunyai dua pertiga atau kurang, jadi permintaan bukan sahaja pembangkang tetapi rakyat juga agak tinggi, itu yang saya rasa semua Exco kena melaksanakan tugas dengan baik.
“Suara dalam dewan satu hal, tetapi suara rakyat juga kuat dan selalunya tidak mengira kedudukan akan menyampaikan kritikan dan sebagainya dan kita kena menjawab dengan cepat dan tuntas atas setiap persoalan dibangkitkan,” kata beliau. – UTUSAN










