Mukadimah
TERENGGANU antara negeri yang tidak mempunyai barisan ahli politik wanita yang ramai seperti negeri-negeri lain.
Namun, kali ini Pas mempertaruhkan calon wanita tunggalnya iaitu Zuraida Md. Noor mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, KAMALIZA KAMARUDDIN, Zuraida berkongsi matlamat dan harapannya untuk pengundi memberi kepercayaan terhadap bakat kepimpinannya menerajui Terengganu.
UTUSAN: Selepas dicalonkan ada pertikaian di DUN Ladang?
ZURAIDA: Isu jantina tidak pernah timbul setelah saya terpilih untuk bertanding kali ini kerana semua calon Pas yang bertanding adalah mewakili parti dan bukannya bertanding atas kapasiti batang tubuh calon semata-mata.
Pertarungan sebenar adalah antara parti iaitu Pas dengan UMNO atau Perikatan Nasional (PN) menentang Barisan Nasional (BN) dan gabungannya Pakatan Harapan (PH).
Itu realiti, bukannya bertanding atas batang tubuh individu, namun Alhamdulillah sepanjang tempoh berkempen, saya mendapat maklum balas baik daripada pengundi yang mengalu-alukan penyertaan wanita dalam pentadbiran kerajaan negeri sekiranya Pas berjaya memenangi PRN ini.
Pemilihan saya sebagai calon wanita untuk PRN Terengganu juga bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Pas juga pernah mempertaruhkan calon wanita (Napsiah Ismail) di kerusi DUN Kuala Besut.
Apa kejayaan sepanjang menjadi ADUN Wanita sejak tahun 2018?
Dalam tempoh lima tahun ini, banyak yang berjaya kita laksanakan bersama barisan Exco antaranya mewujudkan Pusat Autisme Terengganu Sejahtera secara percuma.
Selain itu, pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita dalam pawagam, pakaian patuh syariah serta memartabatkan syiar Islam seperti sambutan Terengganu Hijab Day dan Hari Saidatina Aisyah yang menonjolkan ramai bakat wanita dalam kepimpinan, perniagaan, pendidikan dan pelbagai bidang lain.
Selain itu, kita juga berjaya melancarkan Dasar Wanita Terengganu tahun lalu yang akan menjadi rujukan dan garis panduan untuk apa sahaja program pembangunan bakat, potensi dan kebajikan untuk wanita di negeri ini.
Sebagai wanita dan ada keluarga, bagaimana atur jadual sepanjang kempen?
Jadual saya sangat padat bermula seawal 5 pagi dan berakhir 1 pagi sepanjang kempen ini namun ia bukanlah perkara asing bagi saya kerana sejak dulu sudah terbiasa dengan kerja-kerja kemasyarakatan.
Saya cuba memanfaatkan masa yang ada untuk berjumpa seramai mungkin pengundi dan tidak terhad kepada golongan wanita sahaja.
Di beberapa tempat, suami dan keluarga serta kepimpinan lain juga turun padang membantu untuk kempen.
Pada sebelah malam pula, biasanya akan hadir ke ceramah-ceramah untuk memberi penerangan isu-isu semasa dan betapa pentingnya rakyat memberi undi kepada Pas demi mencapai matlamat Terengganu menjadi negeri yang maju, berkat dan sejahtera.
Jika menang mampukah menggalas tanggungjawab sebagai ADUN?
Saya tidak bersendirian kerana ada barisan kepimpinan yang mantap untuk sama-sama memberi khidmat cemerlang kepada rakyat.
Jika dilihat dari segi penat fizikal, ia akan hilang apabila melihat banyak pihak mendapat manfaat daripada aktiviti dan bantuan yang telah dihulurkan.
Saya dah biasa dengan kerja-kerja sukarela dan khidmat kemanusiaan, malah ada yang ke luar negara seperti tragedi gempa bumi di Turki tahun lalu.
Kita tidak boleh berlakon dalam kerja sukarela dan kebajikan ini. Penat memang penat namun perlu diingat matlamat sebenar adalah akhirat dan yang penting adalah keikhlasan.
Apa janji kepada pengundi DUN Ladang dan penduduk Terengganu?.
Pengundi sudah semakin matang dan berfikiran terbuka kerana isu-isu wanita sangat rapat dengan masyarakat dan pastinya kehadiran wakil rakyat wanita akan membawa suara mereka ke peringkat yang lebih tinggi dalam sebarang perubahan dasar yang ingin diperkenalkan nanti.
Saya juga akan menggunakan semua pengalaman yang ada sebagai Adun Wanita yang dilantik dalam penggal yang lepas untuk terus memperkasakan agenda memartabatkan golongan wanita di Terengganu











