Cabaran Aswaad di kerusi majoriti Cina

Cabaran Aswaad di kerusi majoriti Cina

MOHD. ASWAAD JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SEBAGAI satu-satunya calon Melayu daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang atas tiket Perikatan Nasional (PN), MOHD. ASWAAD JAAFAR dilihat berani menongkah arus.

Malah, beliau juga diletakkan bertanding di kerusi majoriti pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lanchang yang sebelum ini sinonim calon bukan Melayu.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, beliau berkongsi berkenaan peluang dan harapannya bertanding di kerusi tersebut.

UTUSAN: Apa yang anda ingin­ perkatakan pertama kali ber­tanding PRN?

Saya berasa amat terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh parti dan berasakan peluang ini perlu digunakan sebaik-baiknya dalam mendapat kepercayaan daripada pengundi sekali gus berharap dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina, adakah anda yakin dapat menarik sokongan pengundi?

Saya yakin pengundi di kawasan ini tidak memandang calon yang bertanding dari aspek kaum, sebaliknya mereka menilai siapa yang akan memimpin mereka dengan memberi keutamaan terhadap kualiti dan pemimpin yang senang didekati.

Sama ada calon itu dari kaum Cina, India atau Melayu, pengundi berbilang kaum di sini bersedia memberi peluang kepada pemimpin yang dirasakan layak bagi mereka untuk memimpin Batu Lanchang dengan lebih baik.

Bertanding di kubu kuat DAP, adakah ia menjadi satu tekanan?

Saya tidak berasakan ini suatu tekanan kerana saya yakin dan percaya, rakyat Malaysia yang berbilang kaum sangat cintakan keharmonian. Boleh dilihat apabila saya turun padang berjumpa pengundi, mereka menyuarakan sokongan dan me­nerima saya dengan sangat baik.

Malah, mereka beri pandangan serta cadangan kepada saya bagaimana untuk mendapat kepercayaan pengundi berbilang kaum.

Apa perubahan yang mahu dilakukan sekiranya menang di DUN Batu Lanchang?

Perkara pertama yang saya mahu lakukan adalah mengenal pasti permasalahan yang dihadapi penduduk khususnya dalam soal kelangsungan hidup. Aspek lain adalah menjaga kebajikan penduduk tanpa me­ngira kaum dengan harapan tidak ada yang tercicir atau terpinggir dari aspek kebajikan.

Perkara ini dapat dilihat ketika saya menyantuni pengundi di sekitar kawasan ini yang mana terdapat sebahagiannya memerlukan per­­hatian pihak berwajib.

Harapan terhadap masa depan Pulau Pinang untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh lima tahun akan datang?

Saya berharap penduduk Pulau Pinang dapat memberi mandat kepada PN untuk mentadbir negeri ini dengan kaedah yang lebih cekap memandang­kan ketika ini majoriti rakyat dibelenggu dengan kos sara hidup yang semakin mencabar.

PN sudah membuktikan kita mampu membela nasib rakyat sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19 dan kita boleh melakukan lebih baik di Pulau Pinang sekiranya diberikan peluang dan kepercayaan oleh rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN