Bekas tentera dihukum gantung, dera anak sampai mati - Utusan Malaysia

Bekas tentera dihukum gantung, dera anak sampai mati

MOHAMMAD Abdullah Mohamed (tengah) dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Seremban hari ini atas kesalahan mendera anaknya sehingga mati dalam kejadian di Lukut, Port Dickson ima tahun lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas tentera dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Seremban hari ini atas kesalahan mendera anaknya sehingga mati dalam kejadian di Lukut, Port Dickson, lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Abdullah Mohamed, 41, di hari akhir pembelaan dan tertuduh didapati bersalah.

Dalam penghakimannya, Rohani menyatakan pihak pendakwaan telah membuktikan keraguan melampaui keraguan munasabah yang mana tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 hingga 50 tahun dan dikenakan minimum 12 sebatan.

“Setelah mahkamah mendengar dan menimbang hujahan peguam bela kamu (tertuduh) dan pihak pendakwaan, mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman mati ke atas kamu di mana kamu diperintahkan digantung di leher sehingga mati pada tarikh dan masa yang akan ditetapkan kelak. 

“Dalam kes ini, apa yang diketengahkan adalah penafian dan andaian semata-mata,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah membunuh anak perempuannya Nur Aina Nabihah, yang ketika itu berusia sembilan tahun, pada 31 Januari 2018.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Jalan Vista Jaya 5, Taman Vista Jaya, Lukut, antara pukul 8.30 malam hingga 11.30 malam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Maleeha Syed Hussin dan Ala’uddin Baharom, manakala tertuduh diwakili oleh sebuah syarikat guaman.

Terdahulu, peguam tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara paling minimum bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu 31 Januari 2018.

“Tertuduh telah berkahwin dan mempunyai empat anak. Sebelum ditangkap polis, tertuduh telah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia dan jawatan yang dipegang sebagai sarjan (kenderaan). 

“Dia (tertuduh) telah berkhidmat untuk negara 17 tahun sebulan dan tertuduh juga amat menyesal serta memohon maaf,” katanya.

Bagaimanapun, Sharifah Maleeha dalam hujahannya memohon mahkamah satu hukuman berat dikenakan yang mana hukuman paling munasabah dan wajar dikenakan kepada tertuduh ialah hukuman mati.

“Mangsa merupakan anak kandung tertuduh yang mana punca kematian adalah disebabkan kecederaan abdomen disebabkan kudrat tumpul. Kudrat tumpul yang kuat menghasilkan kecederaan dalaman,” katanya.

Tambahnya, dalam kes ini, terdapat 32 kecederaan luaran dan pelbagai kecederaan dalaman si mati, terutamannya di bahagian kepala, leher dan abdomen.

“Pemeriksaan juga mendapati terdapat pendarahan yang banyak dalam abdomen yang disebabkan kesan luka hati, pankreas dan ginjal. Dalam kes ini tertuduh telah bertindak kejam memijak serta menendang si mati hingga maut.

“Si mati ketika kejadian adalah kanak-kanak perempuan yang dipijak dan ditendang oleh seorang bapa kandungnya sendiri. Perbuatan ini tanpa belas kasihan seorang yang dikenali terhadap anak kandungnya sendiri, satu nyawa telah hilang tidak dapat dikembalikan lagi dan di mana sifat seorang ayah yang sepatutnya melindungi, menjaga dan memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya,” tegasnya.

Media pada 1 Februari 2018 melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu, maut ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS)

Ketua Polis Daerah Port Dickson pada ketika itu, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, kanak-kanak terbabit dipercayai dipukul dengan objek tumpul di rumah keluarganya.

“Mengikut siasatan awal, mangsa dikatakan dilihat tidak sedarkan diri oleh bapa kandungnya pada jam 11.30 malam. Bapa mangsa yang berusia 38 tahun itu cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada kanak-kanak itu, namun tidak berjaya.

“Dia kemudian menghantar anak keduanya itu ke HTJS untuk rawatan dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat pada jam 12.30 tengah malam,” kata Zainuddin ketika itu,

Hasil siasatan, suspek pernah ditahan kerana kesalahan sama pada Jun 2017 selepas ibu kandung mangsa yang sudah bercerai dengannya, membuat laporan polis apabila melihat kesan lebam pada tubuh anaknya ketika mengambil kanak-kanak itu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya