SEREMBAN: Seorang banduan warganegara asing yang bertindak melarikan diri dari Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin, di sini, semalam walaupun bakal melalui proses pengusiran 13 hari lagi berjaya ditangkap polis pada pukul 10 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, polis telah melancarkan Op Tutup dan membuat rondaan bermotorsikal untuk mengesan banduan tersebut di kawasan berhampiran.
Menurutnya, polis bersama pegawai jabatan penjara telah berjaya menangkap suspek di Kilometer 29, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
“Permohonan reman ke atas suspek berusia 39 tahun itu telah dibuat di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi dan telah diluluskan selama empat hari bermula hari ini.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, Abdul Malik berkata, pihaknya menerima aduan di kaunter aduan Balai Polis Mantin pada pukul 6.55 petang semalam berkenaan banduan melarikan diri dan hasil siasatan mendapati banduan berkenaan telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta lima sebatan pada tahun 2017.
Menurutnya, banduan tersebut dihukum atas kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh.
“Banduan berkenaan telah ditempatkan di Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin sejak 19 Jun 2023 bagi proses pengusiran pada 9 September ini,” katanya.-UTUSAN.