JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan ‘lulus’ dalam ujian pertama apabila berjaya memimpin kerajaan perpaduan mengekalkan penguasaan di tiga negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri semalam, sebaliknya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ternyata gagal.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Anwar berjaya memastikan ‘status quo’ dengan terus kekal menerajui kerajaan negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
“Anwar adalah panglima perang dalam PRN ini. Walaupun belum berjaya menembusi kubu Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi berjaya mempertahankan tiga negeri yang menjadi kubu kuat, itu perlu diiktiraf.
“Sebagai PM, beliau pimpin Pakatan Harapan (PH) dan tidak tewas dalam PRN ini. Memang ada beberapa kawasan yang tumbang ke tangan PN, tetapi secara strategik tiga negeri dikuasai PH sebelum ini masih kekal.
“Pihak yang jelas tewas dan perlu bertanggungjawab atas kekalahan UMNO di 89 kerusi yang ditandinginya dengan logo Barisan Nasional (BN) ialah Ahmad Zahid,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor turut memberitahu, PKR dan PH perlu mengambil iktibar daripada keputusan PRN di enam negeri itu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Perkara paling penting adalah membuat persiapan menjelang PRU akan datang, usaha perlu dibuat bagi mendapatkan semula sokongan orang Melayu Islam yang jelas banyak berpindah kepada PN dalam PRN ini.
“Jika dilihat kempen dan propaganda PN dalam PRN yang baru berlalu ini, seolah-olah PH-BN akan tewas teruk dan tiga negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan dikuasai mereka.
“UMNO-BN memang jelas tewas seperti MUDA (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) yang hilang deposit di semua kerusi ditandinginya. Tetapi ini PKR dan PH tetap menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk membina harapan bagi generasi akan datang,” katanya.
Walau bagaimanapun, Anwar perlu muhasabah diri selepas mengharungi PRN yang amat sengit dan cukup mencabar, sekali gus kembali bangkit memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan negara daripada diruntuhkan oleh pemimpin politik berfahaman ekstrim dalam PN. – UTUSAN