Anggota polis didakwa terima rasuah RM1,000 - Utusan Malaysia

Anggota polis didakwa terima rasuah RM1,000

AHMAD AMIN Mohd. Komar (kiri) mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima suapan di Mahkamah Sesyen di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini kerana menerima suapan berjumlah RM1,000 enam tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Amin Mohd. Komar, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di depan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain atas empat pertuduhan menerima suapan daripada seorang lelaki melalui pindahan wang secara dalam talian ke akaun bank milik isterinya.

Tertuduh yang masih bertugas di bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik polis daerah Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara Oktober 2017 hingga Mac 2018.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menerima RM200 melalui pindahan wang secara dalam talian pada 3 Oktober 2017 dan RM200 lagi pada 23 Disember 2017.

Untuk pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa menerima RM200 pada 26 Januari 2018 dan RM400 pada 2 Mac 2018, juga secara pindahan wang secara dalam talian.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, tertuduh yang diwakili peguam Melissa Sukri memohon agar wang jaminan RM10,000 dikurangkan RM5,000 kerana menganggap jumlah tersebut tidak munasabah.

Selain itu, peguam tertuduh memohon rayuan dan memaklumkan tertuduh perlu menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan empat orang anak.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap bulan bermula Ogos sehingga selesai perbicaraan.

Tertuduh juga turut dikenakan syarat tambahan lain iaitu perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan terbabit selesai.

Sementara itu, mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes, pada 21 September depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya